22 Ogos 2008

Melihat hakikat alam dengan mata hati

ALLAH s.w.t tidak mencipta sesuatu dengan sia-sia. Semua ada sebabnya. Semua ada gunanya. Semua ada hikmahnya. Terpulang kepada manusia untuk mencari sebabnya, gunanya dan hikmahnya.

Allah s.w.t hamparkan bumi ini dan mencipta segala di dalamnya bukan semata-mata untuk manusia hidup dan berkembang biak serta menggunakan segala khazanah kekayaan-Nya.

Yang lebih penting, penciptaan semua itu supaya manusia dapat melihat secara zahir akan alam ciptaan Allah s.w.t ini.

Ia adalah bukti besar kepada manusia mengenai wujudnya Allah s.w.t. Ia sebenarnya dalil bagi mereka adanya Allah s.w.t.

Demikian juga di antara sebab Allah s.w.t mencipta sekalian alam. Bukan sahaja alam syahadah atau alam yang nyata ini yang boleh dilihat manusia tetapi juga alam lain. Alam itu adalah alamat atau tanda wujudnya Allah s.w.t.

Allah s.w.t adalah Khaliq - yang mencipta. Alam adalah makhluk - yang dicipta. Ada alam, sudah tentu ada Tuhan yang menjadikannya.

Kebanyakan manusia hanya melihat. Kalaupun mereka nampak, mereka tidak dapat kaitkan alam ini dengan Tuhan. Penglihatan mereka hanya selapis.

Manusia tidak dapat melihat apa yang di sebalik ciptaan Tuhan itu. Penglihatan mereka seolah-olah terlindung atau terhijab.

Sama saja seperti mereka melihat lukisan cantik. Mereka terpegun dan memuji kecantikan lukisan itu dan mahu memilikinya. Tidak terbayang di fikiran mereka siapa pelukisnya. Sama juga seperti orang yang memakan hidangan yang sedap dan lazat. Dia mahu memakannya sehingga habis. Tetapi tidak terlintas di fikirannya siapakah yang memasaknya.

Manusia sebenarnya boleh melihat dengan pelbagai cara. Pertama, dengan mata zahir. Kedua, dengan mata akal. Ketiga, dengan mata hati. Tetapi jarang sekali seseorang itu dapat melihat dengan ketiga-tiga mata ini.

Kalau seseorang itu melihat hutan belantara dengan mata kepala, itulah yang dia nampak iaitu hutan tebal dan menghijau. Kalau dia melihat dengan mata akal, dia akan nampak balak dan kayu-kayan yang boleh dijadikan bahan kekayaan. Kalau dia melihat dengan mata hati, dia akan nampak keagungan dan kehebatan Allah s.w.t dan hikmah terkandung di dalam ciptaan hutan itu. Terasa di hatinya betapa hebatnya Allah s.w.t.

Kalau seseorang itu melihat laut dengan mata kepala, maka itulah yang dia nampak iaitu air yang luas dan membiru serta ombak tidak henti-henti memukul pantai.

Orang yang melihat dengan mata akal akan nampak ikan di dalamnya yang boleh ditangkap dan dijual.

Orang yang melihat dengan mata hati pula akan nampak kehebatan Tuhan dan hikmah penciptaan laut begitu luas serta dalam yang tiada sesiapa pun tahu rahsia yang tersimpan di dasarnya.

Terasa betapa kerdilnya dia di hadapan Allah s.w.t. Sesiapa yang melihat bumi dengan mata kepala, maka itulah saja yang dia nampak iaitu tanah dan batu-batan.

Sesiapa yang melihat dengan mata akal akan nampak minyak, emas, intan berlian dan segala macam logam terkandung di dalam perutnya. Sesiapa melihat dengan mata hati pula akan nampak betapa hebatnya ciptaan Allah s.w.t yang menghamparkan bumi ini untuk dihuni manusia, iaitu manusia boleh hidup dan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Terasa di hatinya betapa pemurah dan pengasihnya Allah s.w.t.

Namun demikian, kebanyakan manusia buta mata hatinya. Mereka hanya nampak apa yang menguntungkan dan boleh memuaskan kehendak nafsu mereka. Mereka hanya terangsang dengan nilai dunia yang ada pada sesuatu ciptaan itu. Mereka tidak nampak Allah s.w.t di sebalik ciptaan-Nya. Alam tidak membawa mereka kepada Allah s.w.t.

Hati mereka buta kerana jiwa mereka mati, jiwa mereka sudah tidak berfungsi lagi. Mereka sudah tidak mempunyai rasa. Mereka tidak terangsang langsung dengan akhirat. Mereka tidak ingin kepada syurga. Mereka tidak takut kepada neraka.

Mereka tidak sedar peranan Allah s.w.t dalam hidup mereka. Mereka tidak rasa Tuhan itu wujud. Kalaupun mereka tahu Allah s.w.t wujud, mereka setakat tahu. Ia belum menjadi keyakinan atau pegangan. Justeru, persoalan Tuhan diambil ringan.

Tidak ada kesedaran bertuhan. Apabila rasa bertuhan tidak ada, mereka tidak dapat merasakan mereka itu hamba. Selagi jiwa mereka tidak dihidupkan, selagi itulah mereka akan hanyut di alam dunia mengikut arus yang akan membawa mereka kepada kelalaian, kesesatan dan kebatilan.

Berdoalah banyak-banyak dan buatlah kebajikan sebanyak mungkin agar Allah s.w.t berkenan mencampakkan hidayah. Tanpa hidayah, manusia tidak dapat menjadi insan sejati yang layak menjadi hamba dan khalifah Allah s.w.t.

Selepas hidayah barulah datang ilmu. Selepas ilmu baru boleh yakin dan faham. Selepas faham, barulah boleh beramal.

Selepas jiwa hidup, mata hati akan celik. Ketika itu, kita akan nampak perkara tersembunyi selama ini. Allah s.w.t akan angkat hijab kita. Akan terbongkar segala rahsia yang tidak pernah kita tahu sebelum ini. Hati akan mudah melihat kebenaran dan jinak dengan kebaikan. Keyakinan datang tanpa perlu difikir. Segalanya akan mudah difahami.

Firman Allah s.w.t bermaksud: “Dan demi sesungguhnya Kami sudah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (Surah Al-Qamar ayat 17, 22, 32 dan 40)

Allah s.w.t juga berfirman bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Kami sudah berulang kali menyebarkan hujah di antara manusia melalui al-Quran supaya mereka berfikir (mengenal-Ku serta bersyukur), dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku kufur.” (Surah Al-Furqan ayat 50)

Allah s.w.t berfirman lagi bermaksud: “(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?” Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (Surah Az-Zumar ayat 9)

Dalam ayat lain Allah s.w.t berfirman bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah s.w.t), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah s.w.t) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A’raaf ayat 179)