21 September 2008

Mencari Lailatul Qadar

"SESUNGGUHNYA Kami menurunkannya (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu?

Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Al-Qadr:1-5)

Lailatul Qadar itu ialah satu malam pada Ramadan yang penuh berkat, iaitu malam yang mengandungi banyak kebaikan, kerana pada malam itu malaikat turun membawa rahmat dan kesejahteraan seperti diterangkan dalam al-Quran.

Agung dan mulianya Lailatul Qadar sehingga Rasulullah s.a.w menganjurkan umatnya melakukan persediaan menyambut dan menghayati malam yang berkat itu. Persediaan yang dimaksudkan itu bukan dengan pesta yang tidak ketentuan, tetapi dengan amal ibadat yang membawa rahmat.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabdanya, bermaksud: "...sesiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya dia diampunkan dosanya yang lalu." (Hadis sahih riwayat Bukhari)

Ibadat yang dimaksudkan termasuk membaca al-Quran, berzikir, beristighfar, bertaubat dan berdoa pada malam yang berkat itu manakala beriman disebut dalam hadis berkenaan merujuk kepada kepercayaan dan keyakinan benarnya keistimewaan Lailatul Qadar yang mulia itu.

Sebenarnya Ramadan, al-Quran dan malam Lailatul Qadar adalah gandingan yang mempunyai hubungan sangat rapat. Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadar, pada Ramadan.

Walaupun Lailatul Qadar mempunyai keberkatan dan kebaikan berlimpah ruah, sehingga dikatakan tiada tandingan berbanding malam lain, ia tidak dinyatakan dengan jelas pada hari tertentu.

Tetapi Rasulullah s.a.w ada membayangkan malam berkenaan, malah menasihati supaya melakukan persediaan untuk menghadapinya, seperti dinyatakan dalam hadis bermaksud:

Daripada Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: "Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Lailatul Qadar pada malam ganjil 10 malam akhir Ramadan." (Hadis sahih riwayat Bukhari)

Malam yang ganjil sudah pasti malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan. Ada hadis yang menyatakan Lailatul Qadar pernah ditemui pada zaman Rasulullah s.a.w pada malam 21 Ramadan dan malam 23 Ramadan.

Baginda juga pernah meminta seorang sahabat yang bertanya mengenai Lailatul Qadar supaya dia bersedia menghayatinya pada malam 27 Ramadan.

Keterangan di atas menunjukkan Lailatul Qadar tidak tetap, sebaliknya boleh bertukar dalam 10 malam terakhir Ramadan pada setiap tahun.

Hikmah malam penuh berkat itu dirahsiakan supaya setiap orang Islam bersungguh-sungguh menghayati 10 malam terakhir Ramadan dengan amal ibadat dan memberi pengharapan yang tinggi kepada Ilahi supaya dapat bertemu malam berkenaan.

Imam Nawawi, berkata: "Lailatul Qadar dapat disaksikan orang yang dikehendaki Allah pada tiap-tiap tahun ketika Ramadan, sebagaimana yang diterangkan dengan jelas dalam hadis Rasulullah s.a.w dan diberitakan juga oleh orang yang soleh..."

Kemudian beliau menyebutkan penjelasan Imam Al-Mawardi, dalam kitabnya, Al-Hawi: Bahawa orang yang dapat menyaksikan Lailatul Qadar, elok dia menyembunyikan perkara yang disaksikan (supaya dia terselamat daripada perasaannya) dan hendaklah dia berdoa (pada saat yang berkat itu) dengan ikhlas serta sepenuh-penuhnya yakin dengan permohonan yang disukainya mengenainya agama dan dunianya, biarlah kebanyakan doanya itu untuk (kebaikan dan keselamatan) agama serta hari akhirat."

Ada orang berkata, mereka yang menemui Lailatul Qadar akan melihat cahaya terang di segenap tempat manakala sesetengah pihak mendakwa mendengar ucapan salam dan kata-kata lain daripada malaikat, melihat semua benda termasuk pokok rebah (sujud) dan doanya makbul.

Bagaimanapun, Imam at-Tabari memilih pendapat yang menegaskan, semuanya itu tidak lazim (tidak semestinya dia dapat melihatnya), kerana tidak disyaratkan melihat sesuatu atau mendengarnya untuk menemui Lailatulqadar.

Cuma yang penting ialah taat beribadat kerana Allah semata-mata dan ganjaran orang beribadat adalah terjamin, sama ada dapat dirasai di dunia atau di akhirat. Justeru, umat Islam digesa rajin beribadat pada Ramadan, lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir Ramadan.

Rasulullah s.a.w contoh terbaik menghayati Ramadan, terutama 10 malam yang akhir dengan beriktikaf di masjid dan melakukan amal ibadat sebagai persediaan untuk menyambut kedatangan Lailatul Qadar.

Daripada Aisyah r.a katanya: "Rasulullah s.a.w memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang ke-10 terakhir Ramadan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya). Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut ulama, Lailatul Qadar kemuncak Ramadan kerana kemuliaannya yang diterangkan di dalam al-Quran dan hadis Nabi s.a.w, malah malam berkenaan dirakamkan khusus dalam satu surah di dalam al-Quran, menunjukkan keistimewaannya.

Orang yang tekun beribadat pada 10 malam yang berkenaan akan mendapat rahmat yang dijanjikan kerana sudah sabit dalam hadis yang sahih Lailatul Qadar wujud pada satu daripada 10 malam itu.

Justeru, orang yang tekun beribadat pada 10 malam terbabit akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu, sama ada dia menemuinya atau tidak dan tidak melihat apa-apa. Cuma yang dapat menemuinya dianjurkan berdoa kebaikan, kesejahteraan dan keampunan.

Nabi s.a.w ada mengajar berdoa seperti berikut: "Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau sentiasa memaafkan (salah silap hamba-Mu), lagi suka memaafkan, oleh itu maafkanlah salah silapku."

Yang penting ialah menghayati malam terbabit dengan amal ibadat, beriman dengan yakin Lailatul Qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadat semata-mata ikhlas dengan mengharapkan rahmat dan reda-Nya.

Fasa akhir Ramadhan

SEDAR tidak sedar kita sudah melangkah masuk ke 10 hari terakhir Ramadan. Sebagai umat Islam yang benar-benar menjiwai dan menghayati makna ibadah, kita seharusnya dukacita kerana Ramadan sudah sampai ke penghujungnya. Bulan-bulan yang mendatang pastinya tidak sama sebagaimana keberkatan yang tersedia untuk beribadah dengan ganjaran berganda seperti Ramadan

Apatah lagi kalau kita menginsafi hakikat, tiada jaminan kita masih bernyawa untuk merasai nikmat Ramadan pada tahun mendatang. Sebab itulah manusia yang berfikiran rasional seharusnya menggunakan setiap detik yang tersisa untuk menggandakan amalan dan ibadah seutuhnya kepada Allah terutamanya pada hari-hari terakhir bagi meraih peluang dan ruang keberkatan yang ada.

Namun apa yang mendukacitakan, budaya masyarakat Islam di Malaysia tampak semakin menyimpang daripada makna sebenar beribadah pada bulan ini. Semacam wujud kecelaruan keutamaan yang serius dalam pertimbangan umat Islam ketika ini. Semakin hampir Ramadan ke penghujungnya, masyarakat semakin galak berpesta raya.

Akhirnya malam-malam yang seharusnya dihabiskan untuk beribadah sering kali berlalu tanpa dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengejar keberkatan malam lailatulqadar. Lebih mendukacitakan, apabila umat bagaikan tidak mengerti hakikat beribadah pada 10 malam terakhir lantaran disibukkan dengan persiapan menyambut Hari Raya. Lagu-lagu raya yang semakin rancak berkumandang memuncakkan nafsu untuk berpesta bagaikan Aidilfitiri di depan mata.

Budaya dan tradisi mengutamakan Aidilfitri tentu sekali tidak secocok dengan nilai dan ajaran yang dianjurkan Islam. Ini kerana ganjaran berganda yang Allah tawarkan kepada hamba-Nya hanya diberikan pada bulan Ramadan. Justeru orang yang berfikir secara waras dan rasional tentu memilih sesuatu yang memberi ganjaran yang lebih berbanding yang sedikit. Ini tidak, makin dekat dengan Aidilfitri makin hebat nafsu berpesta dan beraya. Jemaah di masjid-masjid juga semakin berkurangan, sebaliknya 'jemaah' di pusat-pusat membeli-belah bertambah.

Memang fenomena membeli-belah selalunya akan bertambah hebat terutamanya ketika melalui fasa Ramadan 10 hari terakhir. Fasa yang seharusnya menjadikan umat bertambah kuat beribadah bagi mengejar ganjaran besar termasuk malam lailatulqadar, sebaliknya disibukkan dengan pelbagai gerak kerja persiapan menjelang Aidilfitri.

Budaya berbelanja dan membeli pelbagai perhiasan, pakaian dan peralatan rumah yang serba baru sudah menjadi amalan. Walaupun Islam tidak menghalang umatnya membeli- belah untuk apa jua tujuan, namun perbelanjaan yang kadangkala menjurus kepada pembaziran pastinya tidak seiring dengan prinsip dan nilai muamalah Islam sejati yang sentiasa menganjurkan agar umat membudayakan kesederhanaan dalam berbelanja.

Demikianlah penyimpangan budaya dan pemikiran yang masih menebal dalam masyarakat Malaysia khususnya dalam memahami keutamaan di antara Ramadan dan Aidilfitri. Suasana sebegini tidak berlaku di negara-negara Timur Tengah. Di negara-negara Arab biasanya akan lebih hebat terutamanya menjelang 10 malam terakhir. Di Mekah, umat yang hadir ke Masjidil Haram pada 10 malam terakhir lebih kurang sama ramai dengan jemaah pada musim Haji.

Ini amat bertepatan dengan amalan dan sunah yang diajarkan Nabi Muhammad SAW. Rasulullah sentiasa mengajar umatnya agar melipatgandakan ibadah pada 10 malam terakhir melebihi malam lain. Dalam riwayat hadis ada menukilkan: Adalah Nabi SAW beribadah dengan lebih bersungguh-sungguh dan kuat pada 10 malam terakhir Ramadan, tidak sebagaimana baginda beribadah di malam-malam yang lain. (Riwayat Muslim, Hadis No.1175).

Hakikat yang sudah sedia termaklum, pada malam-malam terakhir terkandung malam yang dipanggil lailatulqadar atau Malam al-Qadar yang cukup istimewa bagaikan hadiah tidak ternilai Allah buat umat Islam. Ini disebut dalam al-Quran:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al- Quran) pada Malam al-Qadar. Dan bagaimana engkau dapat mengetahui kebesaran Malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (Al-Qadr: 1-5).

Begitulah penegasan Allah mengenai kemuliaan dan keberkatan malam al-Qadar yang begitu difahami Rasulullah yang bersungguh-sungguh melakukan ibadah untuk mengejar lailatulqadar. Disebut dalam hadis lain: "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-Qadar darinya (malam-malam Ramadan)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kesungguhan Nabi beribadah turut ternukil dalam hadis lain: "Apabila telah masuk bulan Ramadan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)." ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Begitulah budaya dan amalan yang diajarkan Nabi pada 10 malam terakhir sebagai panduan buat umatnya. Bayangkanlah sekiranya Nabi yang maksum (terpelihara daripada sebarang dosa) itu begitu hebat beribadah pada malam-malam terakhir, pastilah kita sebagai umat yang berterusan bergelumang dengan pelbagai dosa dan noda sewajarnya lebih gigih berusaha mendapatkan malam al-Qadar.

Apa yang pasti, matlamat utama mengejar malam al-Qadar bukanlah sekadar mengharapkan doa kita yang bersifat kebendaan semata-mata dimakbulkan Allah. Sebaliknya, matlamat mengejar malam al-Qadar adalah bagi mendapatkan kerahmatan dan keampunan Allah di atas keterlanjuran kita di muka bumi.

Ini jugalah amalan yang diajar Nabi tatkala ditanya isterinya Aisyah mengenai amalan terbaik jika memperoleh malam al-Qadar: "Berkatalah Aisyah, wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa)? Nabi bersabda: Sebutlah doa: Ya Allah sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan".

Demikianlah amalan dan sunnah Rasulullah SAW yang seharusnya diikuti. Kegagalan menghayati dan mengamalkan sunnah inilah yang akhirnya menyebabkan umat seringkali terjerumus ke dalam kancah kecelakaan dan masalah yang tidak berkesudahan. Mungkin pelbagai polemik yang melanda umat Islam khususnya di Malaysia kebelakangan ini juga berkait-rapat dengan penyimpangan budaya beribadah yang berakar-umbi dalam masyarakat.

Justeru tiba masanya agar usaha penjernihan dilakukan ke atas amalan tradisi masyarakat yang tampak begitu menyimpang daripada landasan sunnah. Umat harus disedarkan agar dalam kesibukan mempersiap tetangga untuk berhari raya, jangan terlepas peluang mengecap keberkatan lailatulqadar. Umat juga harus dipasakkan dalam jiwa dan pemikiran bahawa 10 malam terakhir bukan masa untuk berpesta sebaliknya meningkatkan amalan ibadah agar hidup lebih bermakna di dunia dan akhirat.

Keistimewaan 10 terakhir Ramadhan

ALANGKAH cepatnya masa berlalu, ketika kita mula merasakan seronok melaksanakan ibadah, Ramadan semakin hampir menutupkan tirainya. Sepuluh hari terakhir Ramadan adalah saat di mana Rasulullah SAW meningkatkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf dan mengejutkan ahli keluarga untuk bersama dengannya.

Berlalunya sebahagian besar dari hari-hari Ramadan sewajarnya menimbulkan kecemasan kepada kita. Apakah selama 19 hari kita berpuasa benar-benar telah menjadikan kita manusia yang bertakwa atau sebaliknya?

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW apabila masuknya sepuluh malam terakhir (Ramadan) baginda menghidupkan malam, baginda mengemaskan kainnya dan baginda mengejutkan isterinya (yakni tidak bersama dengan isteri).

Hadis ini menceritakan kepada kita bagaimana Nabi SAW bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah meskipun baginda tidak melakukan dosa. Namun baginda telah memberikan satu contoh tauladan yang baik kepada umatnya di dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadan.

Panduan yang diberikan oleh baginda ini menggambarkan betapa tinggi nilainya saat yang kita lalui sekarang. Menjadi suatu yang amat malang sekiranya kita semakin lemah dan cuai dalam melakukan ibadah meskipun Ramadan semakin hampir meninggalkan kita.

Imam Muslim juga meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a berkata: Bahawa Nabi SAW bersungguh-sungguh (beribadat) pada 10 malam terakhir tidak seperti mana (di bulan) selainnya.

Contoh yang ditinggalkan kepada kita oleh baginda SAW wajar dijadikan pedoman di dalam mengisi hari-hari terakhir Ramadan ini. Sepatutnya waktu ini tidak dihabiskan dengan menonton televisyen atau mengunjungi pusat-pusat membeli belah. Kerana inilah fenomena yang sering kita lihat.

Kelebihan 10 malam terakhir seolah-olah tidak langsung diambil kira. Malah lebih mendukacitakan, ada di kalangan muda-mudi Islam yang keluar malam ke taman-taman untuk memadu kasih tanpa rasa berdosa dan malu.

Sepatutnya bapa sebagai ketua keluarga mengambil berat soal membudayakan suasana ibadah khususnya pada 10 malam terakhir ini. Anak-anak perlukan satu panduan dan contoh dari ibu bapa.

Sebaliknya jika ibu bapa turut serta mengabaikan ibadah di penghujung Ramadan maka tidak hairanlah anak-anak tidak berminat untuk mengerjakan solat tarawih sebaliknya datang ke masjid atau surau hanya untuk membuat bising dan bermain mercun.

Apa yang dimaksudkan dengan baginda SAW menghidupkan malam dan mengemaskan kain sarungnya ialah sebagai satu gambaran bagaimana bersungguhnya baginda menumpukan saat ini dengan ibadah sehinggakan baginda tidak bersama dengan isteri untuk 10 malam terakhir ini.

Kesungguhan ini didorong pula dengan kelebihan sepuluh malam terakhir yang dijanjikan dengan kehadiran malam Al-Qadr atau Lailatulqadar.

Firman Allah SWT: Maksudnya: (Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan, Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan). (al-Qadr: 1-3)

Malam al-Qadr sengaja dirahsiakan oleh Allah Taala sebagai satu ujian kepada umat Islam di dalam mencari rahmat dan kasih-Nya. Bagi mereka yang benar-benar beriman keghairahan mencari reda Allah menjadikan mereka begitu teruja meningkatkan pencarian ganjaran berlipatganda yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Sebaliknya bagi mereka yang alpa, saat-saat ini seringkali dipenuhi dengan aktiviti persiapan hari raya yang menyibukkan mereka hingga terlupa promosi istimewa pelepasan azab neraka yang dijanjikan oleh Allah di penghujung Ramadan.

Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ialah menghidupkan malam dengan solat malam seperti tahajud, hajat, taubat dan juga berzikir kepada Allah. Juga digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga supaya bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah.

Ibu bapa wajar mengajak anak-anak yang sudah dewasa khususnya bersama berqiamullail dan jangan biarkan mereka lena. Bagi memudahkan mereka bangun bersama pastikan mereka dapat tidur lebih awal.

Bagi suami isteri 10 malam terakhir tidak digalakkan untuk bersama kerana Nabi SAW diberitakan bahawa baginda mengemaskan ikat kainnya yakni tidak bersama dengan isteri kerana disibukkan dengan amal ibadah.

Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadan ini iaitu dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadat kepada Allah. Kata Imam Az-Zuhri: Maksudnya: “Suatu yang pelik bagi kaum muslimin mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Nabi SAW tidak pernah meninggalkannya semenjak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga ia meninggal dunia”.

16 September 2008

Jangan jadi pengganti Syaitan

Kepentingan ilmu dalam kehidupan sememangnya diakui oleh manusia. Ilmu dapat membebaskan seseorang daripada kejahilan dan juga kemiskinan.

Ilmu juga menjadikan manusia seorang yang patuh kepada segala suruhan Allah dan meninggalkan segala yang ditegah.

Allah berfirman: Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya adalah orang yang berilmu. (Faatir: 28)

SOALAN: Selalunya majlis ilmu kurang diminati termasuk dalam bulan Ramadan. Bagaimana hendak mengatasi hal ini?

JAWAPAN: Ramai di kalangan kita yang tidak ambil berat majlis ilmu. Apabila tidak dibiasakan mengikuti majlis ilmu di luar Ramadan maka dalam bulan yang penuh berkat ini pun mereka masih kekok menghadirinya.

Sebab itu, pepatah Arab ada menyebut, “nafsu itu seperti bayi, kalau dibiarkan ia akan terus menyusu tetapi kalau dilepaskan ia akan lepas”.

Sepatutnya dalam bulan Ramadan di mana syaitan itu dibelenggu sebagaimana mafhum sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari, umat Islam perlu ada kesedaran. Pada masa yang sama perlu ada kekuatan dan usaha untuk menaikkan taraf iman. Sebab iman itu ada pasang surutnya.

Ramadan memberi peluang yang besar kepada kita untuk melawan secara gentleman iaitu satu dengan satu dengan nafsu. Kita tidak lagi terpaksa berhadapan dengan syaitan kerana telah dibelenggu.

Justeru, kita kena istiqamah dan banyak berzikir. Ulama berkata, zikir itu bukan hanya sebut subhanallah sahaja tetapi meliputi baca al-Quran, bab halal dan haram termasuk makanan dan juga majlis-majlis tazkirah.

SOALAN:Bagi pelajar institusi pengajian tinggi, ada yang beranggapan rugi kalau tidak bertarawih kerana menghadiri kuliah. Betulkan tindakan ini?

JAWAPAN: Bagi pelajar, apabila bertembung jadual kuliah dengan tarawih mereka perlu bijak membahagikan masa.

Waktu menunaikan solat tarawih itu panjang iaitu bermula selepas solat Isyak hinggalah sebelum masuk waktu Subuh. Maknanya, jika menghadiri kelas malam mereka masih boleh solat tarawih.

Yang terbaik adalah cari rakan-rakan yang belum solat dan tunaikan solat tarawih secara berjemaah. Solat ini pula boleh dibuat secara ringkas. Memadai dengan hanya membaca ayat-ayat lazim selepas al-fatihah.

Ataupun, pelajar boleh pilih untuk solat sendirian. Lagipun asal ibadat sunat tarawih pun dilakukan secara individu oleh Rasulullah SAW. Baginda hanya keluar berjemaah pada beberapa malam terakhir di akhir hayatnya.

Yang menggalakkan ia dikerjakan secara berjemaah ialah saidina Umar selepas melihat solat bersendirian itu kurang meriah.

Kaedah yang sama boleh dilakukan oleh mereka yang terpaksa bertugas waktu malam seperti anggota penguatkuasa dan pasukan keselamatan.

Yang penting, jangan diabaikan sehingga tertinggal pelajaran dan jangan diabaikan tarawih. Sebabnya, Rasulullah bersabda, barang siapa yang mendirikan Ramadan dengan keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan dosanya yang lalu. (riwayat Bukhari)

Mendirikan Ramadan bermaksud menghidupkan malamnya iaitu dengan solat tarawih dan ibadat lain. Solat tarawih termasuk dalam golongan yang disebut dalam hadis ini.

SOALAN:Walaupun syaitan dibelenggu, ajaran sesat dan maksiat masih berlaku dalam Ramadan. Mengapa ajaran sebegini masih ada pengikutnya?

JAWAPAN: Golongan begini sebenarnya telah terdidik oleh syaitan. Jadi apabila syaitan dirantai mereka menjadi galang gantinya.

Syaitan ‘asli’ sudah tidak ada dalam Ramadan tetapi ‘penggantinya’ masih berkeliaran. Mereka mengajak manusia melakukan perlanggaran hukum Allah dalam Ramadan.

Antara sebabnya adalah penyakit syubhat dalam diri menyebabkan manusia mudah terima benda-benda yang pelik.

Jangan pula kita hairan, kerana kadang-kadang yang disesatkan itu adalah mereka yang berpendidikan agama. Allah sesatkan mereka dalam ilmu mereka sendiri.

Demikian juga masih ramai orang lulusan agama tetapi masih terlibat dengan skim cepat kaya, saham konvensional dan lain-lain.

Ingatlah firman Allah: ...dan janganlah kamu menurut hawa nafsu kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah...(Saad: 26)

SOALAN:Muslim itu bersaudara sebagaimana ayat 10 surah al-Hujurat. Apakah saranan Islam untuk memperbaiki ukhwah terutama dalam Ramadan?

JAWAPAN: Dalam bab memperbaiki hubungan silaturrahim dan persaudaraan ini Ramadan pastinya masa yang terbaik. Terutamanya menziarahi ibu bapa di kampung bertanyakan tentang makan minum mereka. Jangan tunggu hari raya sahaja baru nak pulang menziarahi mereka.

Dalam politik pun, perlu dipulihkan ukhwah Islamiah. Kita kena sayang kepada sesama Muslim seperti sayangkan diri sendiri.

Jika ada perselisihan yang dibiarkan, ia akan menghalang mendapat pengampunan dalam Ramadan. Gali balik al-Quran dan jadikannya paksi sebenar pegangan.

06 September 2008

Berpada-pada bila berhibur

REALITI kehidupan hari ini, masyarakat dunia tidak dapat lari daripada berdepan dengan pelbagai cabaran. Malah, cabaran masa kini lebih hebat dan menguji kecekalan.

Jika dulu, menyampaikan sesuatu berita mungkin meng gunakan khidmat wakil utusan atau dengan burung, tetapi kini maklumat dapat dicapai dengan hujung jari dalam masa singkat, walaupun jauh jaraknya.


Sedar atau tidak dalam kepelbagaian cabaran itu, mereka yang memusuhi Islam tidak pernah berputus asa daripada memikirkan strategi untuk menghancurkan umat Islam.

Mereka tidak lagi menggunakan senjata untuk memus nahkan perpaduan dan kehidupan orang Islam, sebaliknya dengan kaedah lebih licik.

Antara strateginya adalah menghidangkan segala bentuk hiburan dengan sebanyak-banyaknya sehingga menyebabkan kelekaan.

Apabila sudah leka dan dibuai keseronokan, mereka dengan sendirinya menjadi semakin gemar kepada hiburan serta keseronokan, malah seboleh-bolehnya mahu berhibur se panjang hari, sehingga membantutkan segala pekerjaan.

Lantaran terikut-ikut dengan gelodak keseronokan, gejala sosial menjadi-jadi terutama membabitkan muda-mudi, per gaulan sudah tiada sempadan, penyalahgunaan dadah seperti tidak terkawal, ragut dan lepak sudah menjadi lumrah.

Benar, naluri manusia memang cenderung kepada hiburan kerana hiburan menyeronokkan dan menenangkan hati.

Tetapi bentuk hiburan bagaimana yang memberikan ke tenangan? Apakah lagu, lawak jenaka dan seni budaya yang dipersembahkan dalam pelbagai gaya ini memberikan ke tenangan? Nilailah sendiri.

Jika direnung sejenak, inilah bentuk hiburan yang popular pada hari ini dan ia begitu berpengaruh. Ada antaranya dimeriahkan dengan keterlaluan sehingga ada yang sanggup mengetepikan agama dan sopan santun ketimuran.

Malang sekali jika dalam berhibur, kepatuhan kepada agama diambil ringan, waktu solat diabaikan serta berpakaian pula hanya untuk menunjuk-nunjuk. Dari sini mulalah berputik masalah, akhirnya melebar kepada keruntuhan moral.

Apakah corak hiburan yang dipopularkan hari ini tidak selari dengan tuntutan syarak?

Sebagai umat Islam, lunas syariat perlu diambil kira, tidak terbabit dengan pergaulan bebas sehingga menyebabkan berlaku kemungkaran, menghindari muzik dan tari menari melalaikan serta merangsang syahwat, berpakaian sopan dan menutup aurat.

Bentuk hiburan yang keterlaluan akan melalaikan diri daripada melaksanakan ibadat dan tanggungjawab terhadap Allah, malah boleh membawa kepada syirik sekiranya seni kata lagu misalnya mengandungi unsur pemujaan syaitan.

Fitrah manusia suka kepada keseronokan, hiburan tetapi awas, jangan sampai lupa mengingati Allah, jangan pula kerana terlalu seronok harga diri tergadai.

Berhibur secara keterlaluan akan mengundang malapetaka, tiada lagi erti ketenangan, malah hati menjadi semakin keras, lupa untuk bersyukur kepada Allah, sehingga tanggungjawab juga diabaikan. Justeru, berpadalah apabila berhibur.

Sejarah menunjukkan keruntuhan kerajaan seperti Abba siyah, Uthmaniyah dan Kesultanan Melayu Melaka dise babkan kemewahan hidup yang melalaikan, sehingga berasa kehidupan begitu selesa dan terlalu menyeronokkan.

Ini menunjukkan mereka yang asyik dengan keseronokan saja akan mengundang kemaraan musuh serta membuatkan diri dan negara terjajah.

Bahkan, disebabkan keseronokan itu juga mereka lupa kehidupan di akhirat, sedangkan akhirat sudah pasti seperti dijelaskan dalam firman bermaksud:

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan per mainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan. Dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir.” (al-An’am:32)

Sejarah al Quran

TIDAK ada umat yang lebih bertuah daripada umat Nabi Muhammad SAW, nabi dan rasul akhir zaman. Ini kerana mereka sentiasa diberi petunjuk dan rujukan mutlak dengan diberi jaminan tidak akan sesat selagi petunjuk dan rujukan mutlak itu tidak diingkari.

Induk bagi segala induk rujukan itu adalah al-Quran manakala penjelasan lanjutnya pula terkandung dalam al-Hadis. Bila kedua-duanya diimani, maka akan babas dan terselamatlah dari sebarang kesesatan.

Apakah itu al-Quran?

Ia membawa maksud ‘bacaan’, berasal dari perkataan qara’a.

Kata al-Quran berbentuk masdar dengan erti isim maf’ul yakni maqru’ (dibaca).

Tujuan utama al-Quran diturunkan adalah untuk dibaca, dihafal, dihayati, diimani dan diamalkan.

Firman Allah SWT bermaksud: Sesungguhnya mengumpulkan al-Quran (di dalam dadamu) dan (menetapkan) bacaannya (pada lidahmu) itu adalah tanggungan Kami. (Kerana itu), jika Kami telah membacakannya, hendaklah kamu ikutinya. (al-Qiyaamah: 17-18).

Al-Quran kini didefinisikan sebagai himpunan khusus Kalamullah yang merupakan mukjizat yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW yang ditulis, dimushaf dan diriwayatkan dengan mutawatir serta membacanya adalah ibadah yang sangat dituntut.

Terdapat juga Kalamullah yang diturunkan kepada nabi selain Rasulullah SAW dan tidak dinamakan al-Quran. Contohnya, Kalamullah yang terhimpun dalam Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud a.s.,, Taurat kepada Nabi Musa a.s. dan Injil kepada Nabi Isa a.s.

Ada jua Kalamullah yang diturunkan kepada Rasulullah SAW yang tidak dinamakan al-Quran dan membacanya dianggap sebagai ibadat dinamakan Hadis Qudsi.

Penurunan dan Penerimaan Wahyu Tidak Mudah

Oleh kerana nilai al-Quran itu sangat tinggi dan tidak ada barang benda yang boleh disamakan dengannya, maka penurunan dan penerimaan al-Quran melalui wahyu bukanlah satu kerja atau proses yang mudah.

Ia diturun dan diterima oleh Rasulullah dengan pelbagai cara.

Antaranya:

lMalaikat (Jibril) memasukkan wahyu ke dalam hati Rasulullah. Dalam hal ini Rasulullah tidak melihat sesuatu apa pun. Baginda merasa wahyu itu sudah berada dalam kalbu baginda. Mengenainya baginda menyatakan: “Ruhul qudus mewahyukan ke dalam kalbulku”. Hal ini boleh dirujuk melalui ayat 51, surah Asy-Syura.

lMalaikat (Jibril) menampakkan dirinya kepada Nabi dalam bentuk rupa lelaki yang mengajarkan kepada baginda membaca sesuatu wahyu sehingga baginda mengetahui dan benar-benar hafal.

lWahyu datang kepada baginda seperti gemerincing loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan oleh baginda. Kadang-kadang pada kening baginda terpercik peluh walaupun wahyu turun pada musim dingin. Kadang-kadang unta baginda terpaksa berhenti dari berjalan dan terduduk kerana merasa amat berat sekiranya ketika wahyu diturunkan, baginda sedang menunggang unta.

Sebagai penulis wahyu, Zaid bin Sabit diriwayatkan berkata: “Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Aku lihat ketika turunnya wahyu, Rasulullah yang menerimanya seakan-akan diserang demam yang teruk dan peluh baginda bercucuran seperti permata. Setelah selesai turunnya wahyu, barulah baginda kembali seperti biasa”.

lMalaikat (Jibril) menampakkan dirinya kepada Nabi, tidak berupa seorang lelaki tetapi dalam bentuk rupanya yang asal. Hal ini terkandung dalam ayat 13-14, Surah An-Najm yang bermaksud: Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidarulmuntaha).

Penurunan al-Quran

Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam tempoh 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun yakni 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Hikmah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur adalah:

lLebih mudah dimengerti dan dilaksanakan penyebaran dan penghafalannya. Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya suruhan dan larangan itu dibuat dalam keadaan banyak sekali gus selain dari ia akan membebankan.

lDi antara ayat-ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kemaslahatan. Ini tidak dapat dilakukan sekiranya al-Quran diturunkan sekali gus.

lTurunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa-peristiwa yang terjadi akan lebih mengesankan dan lebih meresap ke dalam sanubari.

lMemudahkan penghafalan.

lDi antara ayat-ayat itu ada yang merupakan jawapan daripada pertanyaan atau penolakan sesuatu pendapat atau perbuatan.

Ayat Makiyyah Dan Madaniyyah

Al-Quran terbahagi kepada dua bahagian ayat iaitu ayat Makiyyah dan ayat Madaniyyah.

Ayat Makiyyah adalah ayat-ayat yang diturunkan di Mekah dan ayat-ayat Madaniyyah pula diturunkan di Madinah.

Beza antara keduanya adalah:

lAyat-ayat Makiyyah pada umumnya pendek-pendek manakala ayat-ayat Madaniyyah pula panjang-panjang. Ayat Madaniyyah yang merupakan 11/30 juzuk kandungan al-Quran berjumlah 1,456 ayat, sedangkan ayat-ayat Makiyyah yang merupakan 19/30 juzuk daripada isi kandungan al-Quran berjumlah 4,780 ayat. Keseluruhan ayat al-Quran sebanyak 6,236 ayat dengan kira-kira 1.2 juta huruf.

Dalam bentuk surahnya sebanyak 114 surah dan juzuknya sebanyak 30 juzuk. Membaca al-Quran diberi 10 ganjaran untuk setiap satu huruf.

lDalam ayat-ayat Madaniyyah terdapat ayat ya ayyuhalladzina aamanu (Wahai orang yang beriman) dan amat sedikit terdapat ayat ya ayyuhanass (Wahai manusia), manakala dalam ayat-ayat Makiyyah pula adalah sebaliknya.

lAyat-ayat Makkiyyah pada umumnya mengandungi hal-hal yang berhubung dengan keimanan, ancaman dan pahala, kisah-kisah umat terdahulu yang mengandungi pengajaran dan budi pekerti.

Ayat-ayat Madaniyyah pula mengandungi hukum-hukum sama ada yang berhubungan dengan hukum adat atau hukum-hukum duniawi seperti hukum kemasyarakatan, hukum ketatanegaraan, hukum perang, hukum antara bangsa, hukum antara agama dan sebagainya.

10 cara meraikan Ramadhan

Allah berfirman: Wahai orang yang beriman, difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas golongan sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa. (al-Baqarah; 183)

RAMADAN yang dikenali sebagai syahrul barakah atau bulan berkat mempunyai pelbagai kelebihan.

Muslim yang mukmin hendaklah mengambil peluang Ramadan kali ini bagi meningkatkan ketakwaan agar puasa kita mencapai tahap puasa khawasil khawas (orang khusus).

Berikut disenaraikan 10 cara untuk meraikan kedatangan Ramadan al-Mubarak.

1. Meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan fasik. Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan masih lagi berbohong, maka Allah sama sekali tidak berhajat kepada hasil puasanya, walaupun dia berlapar dan berdahaga. (riwayat Bukhari).

2. Menghidupkan malam dengan beribadat (qiamullail). Sesungguhnya ibadah qiamullail adalah kegemaran Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Kata Ummul Mukminin Saidatina Aishah r.a.: Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana Rasulullah tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda sakit atau keletihan, baginda bersolat dalam keadaan duduk.

Rasulullah SAW juga bersabda: Sesiapa yang menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. mengerjakan solat malam sehingga sampai separuh malam. Kemudian beliau menggerakkan keluarganya supaya mendirikan solat dengan berkata: “Solat, solat” sambil membaca ayat 132 dari surah Taha yang bermaksud: Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, malah Kami yang memberikan rezeki kepadamu. Kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.

3. Bersedekah. Rasulullah SAW adalah seorang yang paling pemurah. Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Sabda Rasulullah: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan”. (riwayat Tirmizi).

4. Menjamu makanan. Golongan salaf as-soleh amat prihatin dan gemar menjamu makanan kepada orang lain dan mendahulukannya daripada ibadat sunat yang lain. Kesan daripada jamuan makanan ini dapat menimbulkan kasih sayang dan persaudaraan.

Ia juga dapat memudahkan seseorang itu masuk ke syurga Allah SWT. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Wahai manusia, sebarkan salam, jamulah makanan, sambungkanlah silaturrahim, solatlah ketika orang lain sedang tidur, kamu akan memasuki syurga dengan selamat”. (riwayat Ahmad dan Tirmizi).

Baginda bersabda lagi di dalam hadis yang lain: “Sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa, maka pahalanya sama seperti pahala orang yang yang berpuasa itu”. (riwayat Ahmad).

5. Banyak membaca al-Quran dan menangis ketika membacanya. Sebahagian besar para salaf as-soleh khatam al-Quran ketika mengerjakan qiamullail pada malam bulan Ramadan tiga hari sekali. Ada juga yang mengkhatamkannya seminggu sekali dan ada yang mengkhatamnya 10 hari sekali. Mereka juga sentiasa menangis ketika membaca al-Quran.

Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. membaca surah al-Mutaffifin. Apabila sampai kepada ayat ke-6 yang bermaksud: Hari ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam, beliau menangis sehingga rebah dan tidak berdaya meneruskan bacaan berikutnya.

6. Duduk di masjid sehingga terbit matahari. Diriwayatkan di dalam Sahih Muslim bahawa apabila Rasulullah selesai menunaikan solat subuh, baginda akan terus duduk di tempat solat baginda sehingga terbit matahari.

Menurut sebuah hadis lagi, baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang mendirikan solat subuh secara berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah SWT sehingga terbit matahari, kemudian dia mendirikan solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti pahala satu haji dan umrah yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna”. Kata Sheikh Nasiruddin al-Bani: Hadith ini sahih.

7. Iktikaf. Diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari bahawa Nabi Muhammad beriktikaf selama 10 hari di dalam bulan Ramadan. Pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama 20 hari.

8. Mengerjakan umrah. Rasulullah SAW pernah bersabda: Pahala mengerjakan umrah di dalam bulan Ramadan menyamai pahala satu kali haji. (riwayat Bukhari dan Muslim).

9. Mencari-cari Lailatul Qadar. Rasulullah SAW akan mencari Lailatul Qadar pada bulan Ramadan dan menyuruh para sahabat mencari-cari malam tersebut. Baginda juga akan mengejutkan ahli keluarganya pada 10 malam terakhir Ramadan dengan harapan supaya dapat memperoleh Lailatul Qadar yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan.

Ubay bin Ka‘ab berkata: Antara tanda dan alamat Lailatul Qadar sebagaimana yang telah diberitahu kepada kami oleh Rasulullah SAW iaitu matahari terbit pada pagi hari tersebut dalam keadaan redup. (riwayat Muslim).

10. Memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar. Sesungguhnya siang dan malam pada bulan Ramadan adalah waktu yang sangat istimewa, maka rebutlah peluang tersebut dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab berdoa.

Antaranya, waktu berbuka, sepertiga malam yang terakhir, waktu sahur dan hari Jumaat. Oleh yang demikian, para salaf as-soleh amat prihatin dalam memantapkan amalan mereka dengan memperbanyakkan berzikir, berdoa dan memohon keampunan daripada Allah yang Maha Esa.