28 Februari 2009

Mendekati Allah melalui ciptaan-Nya

ALLAH s.w.t tidak mencipta sesuatu itu dengan sia-sia. Semua ada sebabnya. Semua ada gunanya. Semua ada hikmahnya. Terpulang kepada manusia untuk mencari sebab, guna dan hikmahnya itu.

Allah hamparkan bumi ini dan mencipta segala sesuatu di dalamnya bukan semata-mata untuk manusia hidup dan berkembang biak serta menggunakan segala khazanah kekayaan-Nya.

Apa yang lebih penting, semua penciptaan itu diwujudkan supaya manusia dapat melihat secara zahir akan alam ciptaan Allah ini.

Ia adalah bukti besar kepada manusia mengenai wujudnya Allah. Ia adalah sebenarnya dalil bagi mereka adanya Allah.

 

Demikian juga antara sebab Allah mencipta sekalian alam. Bukan sahaja alam syahadah atau alam nyata ini yang boleh dilihat manusia, tetapi juga alam lain.

 

Alam itu adalah alamat atau tanda akan wujudnya Allah. Segala apa yang Allah cipta itu ialah alam. Alam itu ialah apa sahaja selain Allah. Hakikat kewujudan ini hanya ada dua. Satu Allah dan satu alam. Allah adalah Khaliq - yang mencipta. Alam adalah makhluk - yang dicipta. Ada alam maka sudah tentu ada Tuhan yang menjadikannya.

Kebanyakan manusia hanya melihat, tetapi mereka tidak nampak apa-apa. Kalaupun mereka nampak, mereka tidak dapat kaitkan alam ini dengan Tuhan. Pembabitan mereka hanya selapis saja. Manusia tidak dapat melihat apa yang di sebalik ciptaan Tuhan itu. Penglihatan mereka seolah-olah terlindung dan terhijab.

Sama sahaja seperti mereka melihat lukisan yang cantik. Mereka terpegun dan memuji kecantikan lukisan itu dan mahu memilikinya.

Tidak terbayang di fikiran mereka siapa pelukisnya. Sama juga seperti orang yang memakan hidangan sedap dan lazat. Dia mahu memakannya sehingga habis, tetapi tidak terlintas di fikirannya siapa gerangan memasaknya.

Manusia sebenarnya boleh melihat dengan pelbagai cara. Pertama, dengan mata kepala. Kedua, dengan mata akal. Ketiga, mata hati. Jarang sekali seseorang itu dapat melihat dengan ketiga-tiga mata ini.

Kalau seseorang itu melihat hutan belantara dengan mata kepala, maka itulah yang dia nampak iaitu hutan yang tebal dan menghijau. Kalau dia melihat dengan mata akal, maka dia akan nampak balak dan kayu-kayan yang boleh dijadikan bahan kekayaan. Kalau dia melihat dengan mata hati, dia akan nampak keagungan dan kehebatan Allah dan hikmah terkandung di dalam ciptaan hutan berkenaan. Terasa di hatinya betapa hebatnya Allah.

Kalau seseorang itu melihat laut dengan mata kepala, maka itulah yang dia nampak iaitu air yang luas dan membiru serta ombak tidak henti-henti memukul pantai. Orang melihat dengan mata akal akan nampak ikan di dalamnya yang boleh ditangkap dan dijual.

Orang yang melihat dengan mata hati pula akan nampak kehebatan Tuhan dan hikmah dalam ciptaan laut begitu luas dan dalam yang siapa-siapa pun tidak tahu apa rahsia tersimpan di dasarnya. Terasa betapa kerdilnya dia di hadapan Allah.

Siapa melihat dataran bumi dengan mata kepala, maka itulah saja dia nampak iaitu tanah dan batu-batan.

Siapa yang melihat dengan mata akal akan nampak minyak, emas, intan berlian dan segala macam logam terkandung di dalam perutnya.

Siapa yang melihat dengan mata hati pula akan nampak hebatnya perbuatan Allah yang menghamparkan bumi ini untuk dihuni manusia iaitu manusia boleh hidup dan mengabdikan diri kepada Allah. Terasa di hatinya betapa pemurah dan pengasihnya Allah.

Namun demikian, kebanyakan manusia buta mata hatinya. Mereka hanya nampak apa menguntungkan dan boleh memuaskan kehendak nafsu mereka. Mereka hanya terangsang dengan nilai dunia yang ada pada sesuatu ciptaan itu. Mereka tidak nampak Allah di sebalik ciptaan-Nya. Alam tidak membawa mereka kepada Allah.

Hati mereka buta kerana jiwa mereka mati - jiwa mereka sudah tidak boleh berfungsi lagi. Mereka sudah tidak mempunyai rasa. Mereka tidak terangsang langsung dengan akhirat. Mereka tidak ingin kepada syurga. Mereka tidak takut kepada neraka.

Mereka tidak merasakan peranan Allah dalam hidup mereka. Mereka tidak rasa bahawa Tuhan itu wujud. Kalaupun mereka tahu yang Allah itu wujud, mereka setakat tahu saja.

Ia belum menjadi suatu keyakinan atau satu pegangan. Justeru, soal Tuhan diambil ringan.

Tidak ada rasa bertuhan. Apabila rasa bertuhan tidak ada, mereka pun tidak dapat merasakan bahawa mereka adalah hamba. Selagi jiwa mereka tidak dihidupkan selagi itulah mereka akan hanyut di alam dunia mengikut arus yang akan membawa mereka kepada kelalaian, kesesatan dan kebatilan.

Berdoalah banyak-banyak dan buatlah kebajikan sebanyak mungkin agar Allah berkenan memberi hidayah. Tanpa hidayah, manusia tidak akan dapat menjadi insan tulin yang layak menjadi hamba dan khalifah Allah.

Selepas hidayah barulah datang ilmu. Selepas ilmu baru boleh yakin dan faham. Selepas faham, barulah boleh beramal.

Apabila jiwa hidup, mata hati akan celik. Ketika itu, kita akan nampak apa-apa tersembunyi selama ini. Allah akan angkat hijab bagi kita. Akan terbongkar segala rahsia yang tidak pernah kita tahu sebelum ini. Hati akan mudah dengan kebenaran dan jinak dengan kebaikan.

Keyakinan datang tanpa perlu difikir dan diakal-akalkan. Segala-galanya akan mudah difahami.

Firman Allah bermaksud: “Dan demi sesungguhnya Kami sudah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (Surah Al-Qamar: Ayat 17,22,32dan 40)

Allah juga berfirman bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Kami berulang-ulang kali menyebarkan hujah antara manusia melalui al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalku serta bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku kufur.” (Surah Al-Furqaan: Ayat 50)

Allah berfirman lagi bermaksud: “(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?” Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui ?” Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah Az-Zumar: Ayat 9)

Dalam ayat lain, Allah berfirman bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga, (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A'raaf: Ayat 179)

22 Februari 2009

Derma Darah Semulia-mulia Sedekah

Dr. Yusuf Qardhawi:

Antara sumbangan yang paling berharga,yang boleh dihulurkan kepada pesakit oleh ahli keluarga dan teman-teman adalah menderma darah. Sumbangan ini sangat bermakna kepada pesakit ketika ia melalui proses pembedahan atau untuk membantu dan menggantikan darah yang begitu banyak keluar.

Ianya merupakan sebesar-besar jalan menghampirkan diri kepada Allah dan semulia-mulia sedekah,kerana ianya sama seperti menyelamatkan nyawa seseorang. Sesungguhnya Allah S.W.T telah menegaskan di dalam Al-Quranul Karim ketika menjelaskan tentang nilai nyawa manusia, firmanNya yang bermaksud : “ Sesungguhnya sesiapa yang membunuh maka seolah-olah dia telah membunuh manusia seluruhnya, dan sesiapa yang menghidupkan seolah-olah dia menghidupkan manusia seluruhnya.” ( Al-Maidah : 32 “

Andainya sedekah harta itu mempunyai kedudukan yang tinggi dalam agama, mendapat ganjaran pula dari sisi Allah sehingga Allah Taala menerimanya dengan tangan kanan dan Allah menggandakan sehingga 700 kali gandaan bahkan sampai kepada kadar yang Allah inginkan ( tak terhad ),maka bersedekah atau menderma darah tentulah lebih tinggi lagi kedudukannya dan lebih besar ganjaran pahala, lantaran darah itu adalah penyebab kelangsungan hidup.

Darah adalah sebahagian daripada manusia dan manusia pula lebih bernilai dari harta, dan orang yang menderma darah sebenarnya telah menderma sebahagian dari dirinya yang bersifat benda kepada saudaranya kerana kasih sayang dan perasaan mengambil berat.

Menderma darah, di samping ianya merupakan aktiviti sosial yang baik, ianya juga boleh membantu meringankan beban orang yang dalam kesedihan dan melepaskan bebanan kesusahan yang mencengkam. Ini adalah satu kelebihan lain yang menjadikannya mendapat lebih banyak ganjaran pahala di sisi Allah Taala. Nabi S.A.W bersabda : “ Sesungguhnya Allah suka orang yang membantu orang dalam kesedihan.” ( Riwayat Abu Yu`la Dailami dan Ibnu Asakir dari Anas sebagaimana tersebut dalam kitab Faidul Qadir : 2 - 287 ). Dalam hadis sahih tersebut : “ Sesiapa melepaskan dari orang mukmin satu dari kesusahan- kesusahan dunia maka Allah melepaskannya satu dari kesusahan- kesusahan di Hari Akhirat.” ( Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari hadis Ibnu Umar sebagaimana terdapat dalam kitab Al-Lu`lu Walmarjan nombor 667 ).

Bahkan satu riwayat yang sahih dari Nabi S.A.W menyebut bahawasanya menolong haiwan yang memerlukan makanan dan minuman memperolehi ganjaran pahala yang besar dari Allah Taala sebagaimana tersebut dalam hadis tentang seorang lelaki yang memberi minum kepada seekor anjing yang kehausan.

Lelaki tersebut mendapati anjing itu menjulur-julur lidah sedang memakan tanah yang lembab kerana tersangat dahaga. Maka lelaki itu pun mengambil air telaga dengan menggunakan kasutnya lalu meletakkannya pada mulut anjing tersebut,lalu anjing itu meminumnya sehingga puas. Nabi S.A.W bersabda dan maksudnya : “ Allah berterima kasih kepadanya, dan Allah memberi keampunan kepadanya. Lalu sahabat bertanya dalam keadaan tercengang-cengang : “Apakah kami mendapat pahala dengan sebab berbudi kepada binatang, wahai Rasulullah ? “. Jawab Rasulullah :” Ya ! Berbudi kepada setiap yang bernyawa, akan mendapat pahala”. ( Bukhari dan Muslim sepakat tentang hadis ini yang diriwayatkan dari Abu Hurairah sebagaimana tersebut dalam kitab Lulu`Wal Marjan – Hadis 1447 )

Jelas bahawasanya sahabat beranggapan ,berbudi kepada makhluk binatang tidak mendapat balasan pahala di sisi Allah, sahabat juga menganggap Agama Islam tidak memandang penting mengenainya.

Maka Rasulullah S.A.W menjelaskan kepada para sahabat,berbudi kepada setiap makhluk yang hidup akan mendapat ganjaran pahala, walaupun ianya binatang hatta anjing ….. apatah lagi kalau berbudi kepada manusia? Lebih-lebih pula berbudi kepada orang yang beriman?

Secara umumnya menderma darah ada ganjaran pahalanya yang besar. Tetapi menderma darah yang dilakukan oleh seseorang ahli keluarga terhadap seseorang ahli keluarga pastinya akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda, lantaran perbuatan tersebut boleh menguatkan hubungan kekeluargaan,dan merapatkan lagi tali persaudaraan sesama keluarga.

Berhubung perkara ini Rasulullah s.a.w. bersabda dan maksudnya :” Seseorang yang bersedekah kepada orang miskin akan mendapat satu pahala sedekah, manakala seseorang yang bersedekah kepada kaum keluarga akan mendapat dua kebaikan iaitu kebaikan sedekah dan kebaikan merapatkan hubungan kekeluargaan”.

18 Februari 2009

Melatih Diri Jadi Tawaduk

TAKBUR dan tawaduk adalah dua sifat yang berlawanan. Sifat yang pertama itu sangat dibenci dan manusia wajib menjauhinya kerana ia sifat iblis, manakala yang kedua dipuji dan patut menjadi perhiasan diri setiap individu. 

Disebabkan takbur, iblis dikutuk Allah dan berbekalkan sifatnya itu jugalah ia menggoda manusia tanpa mengira sempadan daerah dan waktu supaya mengikut jejak langkah menjadi bongkak.


Sungguh jelek sifat takbur, bukan saja dikeji, bahkan membawa kecelakaan kepada diri, sebagaimana iblis yang dijanjikan seburuk-buruk tempat di akhirat.

Begitupun, sifat tawaduk tidak mudah digapai melainkan melalui latihan jiwa dan mujahadah yang penuh kesungguhan dan keazaman. Justeru, ada yang bersifat takbur dan susah untuk menjadi tawaduk.

Antara kaedah membantu ialah bersahabat dengan mereka yang bersifat tawaduk untuk mendapat nasihat, tunjuk ajar dan mencontohi mereka.

Asas pertama menjadi tawaduk ialah melalui ibadat solat, kerana di antara gerak rukun perbuatannya mengandungi latihan untuk tawaduk. 

Kemudian, menatap kisah generasi yang bersifat tawaduk seperti nabi, rasul dan pewaris mereka.

Lihatlah kehidupan Rasulullah s.a.w yang diakui sebagai manusia paling agung dan mulia tetapi baginda sentiasa merendah diri sehingga makan di atas tanah, lalu bersabda:

“Aku hanyalah seorang hamba. Apabila suatu hari nanti aku dimerdekakan (maksudnya bebas di akhirat) barulah aku akan memakai pakaian baru.”

Menurut kisah diceritakan Abu Sa’id al-Khudri r.a, Rasulullah memberi makan unta, mengikatnya, membersih atau menyapu rumah, memerah susu kambingnya, membaiki kasutnya, menampal bajunya dan makan bersama khadam.

Rasulullah juga menggantinya (khadam) mengisar gandum apabila khadamnya kepenatan, membeli sendiri barang keperluannya dari pasar dan membawanya kembali ke rumah, berjabat salam dengan si kaya dan miskin, yang tua dan kanak-kanak.

Baginda mendahului salam kepada setiap yang menemuinya, baik yang dewasa atau kanak-kanak, yang hitam atau selainnya, merdeka atau hamba sahaya.

Dalam satu perjalanan, Rasulullah meminta sahabatnya memasak daging kambing. Sesetengah sahabatnya ada yang bersedia untuk menyembelihnya, sebilangan lagi bersedia untuk melapahnya dan sebilangan lagi bersedia untuk memasaknya. 

Rasulullah s.a.w menyatakan kesediaannya mencari kayu api. Tindakan Rasulullah itu tidak disenangi sahabat, lalu menyarankan: 

“Kami cukup untuk kerja ini wahai Rasulullah.” Jawab Rasululllah: Aku tahu...kamu semua sudah mencukupi, tetapi aku tidak suka dibezakan daripada kamu. Allah tidak menyukai hamba-Nya yang dilihat berbeza daripada kalangan sahabatnya.”

Rasulullah s.a.w menaiki apa saja tunggangan yang didapatinya, kadangkala kuda, ba’ir, kaldai dan himar, malah berjalan kaki tanpa kasut, selendang, kopiah atau serban.

Baginda juga menerima pemberian sekalipun seteguk susu atau seketul kaki arnab, kemudian membalas dan memakannya. 

Semua ini menggambarkan sifat tawaduk atau rendah diri Rasulullah. Jika manusia yang sebegini mulia rela bersifat tawaduk, jadi apatah lagi insan kerdil seperti kita.

Kita boleh menguji diri sama ada mempunyai sifat tawaduk atau takbur, iaitu melalui cara berikut:

  •  Mendedahkan diri kepada kritikan membina dan benar. Jika hati berasa berat untuk menerima kebenaran, sukar untuk mengakui dan patuh kepada arahannya, malah berat untuk berterima kasih atas kritikan dan teguran itu, menunjukkan takbur masih tersemat di dalam diri.

    Justeru, perlulah kita melatih diri sehingga biasa dengan teguran dan kritikan. Pada masa yang sama hati tidak berat untuk mendengarnya. 

  •  Bergaul dengan teman sebaya dalam majlis keramaian dan cuba mengutamakan mereka, cuba berjalan di belakang mereka dan cuba duduk di bawah mereka. Jika hati terasa berat, itu menunjukkan masih ada sifat takbur. 

    Tetapi dalam keadaan ini, kita juga perlu berwaspada daripada tipu daya syaitan yang membisik supaya bergaul dengan orang dianggap rendah dan hina supaya disangkanya bersifat tawaduk, sedangkan hakikatnya tidak. 

    Jika demikian, tanpa disedari sebenarnya dia sudah bersifat takbur di sebalik tawaduk yang dicari-cari dan cuba dilakonkan itu.

  •  Menghadiri jemputan orang fakir dan miskin, malah sanggup ke pasar untuk mendapatkan keperluan keluarga serta teman. Jika hatinya berat, itu menunjukkan masih ada sifat takbur dalam dirinya.

  •  Boleh juga diuji dengan memakai pakaian buruk, kerana nafsu biasanya berat untuk memakai pakaian buruk.
  • Yakjuj vs Makjuj

    KISAH mengenai Bani Israel jelas dinyatakan di dalam al-Quran melalui pelbagai ayat dan surah. Banyak teks yang menerangkan perihal mereka, terutama membabitkan ajaran diperjuangkan nabi dan rasul di kalangan mereka.

    KISAH mengenai Bani Israel jelas dinyatakan di dalam al-Quran melalui pelbagai ayat dan surah. Banyak teks yang menerangkan perihal mereka, terutama membabitkan ajaran diperjuangkan nabi dan rasul di kalangan mereka. 

    "Wahai Bani Israel! Kenangkanlah nikmat-nikmat-Ku yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang (yang ada pada zamannya). (al-Baqarah:47)


    Dalam kamus Inggeris orang Yahudi atau Israel dikenali sebagai Jew, dari istilah Perancis giu. Jew asalnya istilah Hebrew, merujuk kepada orang Yahudi, etnik dari Israel atau Hebrew (ahli kaum Semit Arab dan Yahudi). 

    Bahasa Latin ringkasya bermaksud Judaean, dari perkataan Judah, iaitu nama kerajaan Judah dan satu suku kaum Israel.

    Jerman memanggilnya Jude, Juif (Perancis), Jode (Denmark) dan Judio (Sepanyol). 

    Mengikut sejarah, Yahudi yang difahami merujuk dari zaman dahulu kala, malah mengikut adat mengembalikan kepada zaman millennium kedua Sebelum Masihi, dari Nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan Yaakub a.s. 

    Nabi Yaakub, putera kepada Nabi Ishak, yang dilahirkan di Kan'an (bahasa Hebrew, nama lama bagi Palestin), dinasabkan dengan keturunan Bani Israel dan baginda dinamakan juga Israel.

    Isra' membawa erti hamba, kesucian, manusia, manakala 'el' bererti Allah. Perkataan Israel merujuk kepada hamba kesucian Allah.

    "Segala jenis makanan dulu halal bagi Bani Israel, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israel (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat..." (Ali Imran: 93)

    Begitupun, dalam pemahaman moden, Yahudi merujuk kepada tiga kumpulan; orang yang dilahirkan dalam keluarga Yahudi sama ada mengikuti atau tidak agama itu; mereka yang mempunyai keturunan; dan tiada keturunan Yahudi tetapi memeluk agama itu.

    Fakta penyelidikan seorang sarjana Yahudi, Arthur Koestler, menunjukkan lebih daripada 80 peratus Yahudi hari ini langsung tidak mempunyai kaitan sejarah dengan bumi Palestin.

    Majoriti Yahudi sekarang berketurunan Yahudi Khazar iaitu puak Tartar-Turki kuno, di utara Kaukaz (kawasan bekas Soviet) yang asalnya mengamalkan kepercayaan Shamanisme. Cuma sekitar abad kesembilan menjadikan Judai (Yahudi) sebagai agama.

    Kemudian Khazar dianggap sebagai satu daripada empayar kegemilangan Yahudi manakala penduduk Khazar dipercayai menjadi antara moyang bangsa Yahudi moden ketika ini.

    Pendeta Benedictine, Christian dari Stavelot dalam bukunya yang ditulis pada abad kesembilan, "Expositio in Matthaeum Evangelistam' merujuk Khazar sebagai bangsa nomad yang berasal daripada keturunan Yakjuj dan Makjuj.

    Seorang pengembara Arab, Ibnu Fadlan dalam catatan perjalanannya ketika mengadakan misi diplomatik untuk menghadap orang suruhan Raja Khazar menyatakan beliau percaya Yakjuj dan Makjuj adalah moyang kepada Khazar.

    Berbanding bangsa Palestin, dikenali juga sebagai bangsa Kan'an yang diperakui mendiami tanah itu dari awal sejak sekian lama sebelum orang Israel mendatangi lokasi terbabit.

    Orang Yahudi moden berusaha menubuhkan Tanah Israel (Land of Israel), khususnya mereka berhaluan utama untuk dikongsi semua golongan terbabit.

    Istilah Tanah Israel bukannya negara Israel, iaitu sebuah negara geopolitik moden yang lebih kecil, tetapi ia dikatakan wilayah menurut Injil Hebrew dijanjikan Tuhan kepada pengikut Ibrahim melalui puteranya Isa dan orang Israel, pengikut Yaakub.

    Negara moden Israel hari ini terbentuk pada 14 Mei 1948. Peringkat awal pembentukannya menyaksikan perpindahan besar-besaran, termasuk saki baki Holocaust (pemusnahan oleh Nazi Jerman, 1941-1945 membabitkan korban enam juta Yahudi).

    Kerajaan Israel dikenali juga sebagai rejim Zionis, iaitu pergerakan politik antarabangsa yang menyokong tanah air orang Yahudi di Land of Israel. Pergerakan rasminya diasaskan seorang wartawan Austria, Theodor Herzl pada akhir kurun ke-19. 

    Menurut Agensi Yahudi, pada 2007 ada 13.2 juta Yahudi seluruh dunia, dengan 5.3 juta tinggal di Israel, 5.3 juta di Amerika Syarikat dan bakinya bertaburan di pelbagai negara, mewakili 0.2 peratus populasi semasa dunia. 

    Yahudi terkenal sebagai suatu bangsa yang mengingkari perintah Tuhan, golongan yang melampau dalam banyak aspek, keras kepala dan taksub. Teks al-Quran dan lipatan sejarah membuktikan kenyataan itu.

    Sebagai contoh, ketika pemergian Nabi Musa a.s selama 40 hari ke Thur Sina, sesetengah mereka menyembah patung anak lembu. Walaupun dinasihati, mereka tidak mempedulikannya. 

    Kehidupan orang Yahudi terbahagi kepada beberapa zaman, dengan yang pertama berakhir apabila rumah ibadat pertama dimusnahkan orang Babylon. Rumah ibadat itu dibangunkan Nabi Sulaiman.

    Mereka ditakluki pelbagai kuasa besar, seperti orang Assyrians (dari bahagian atas Sungai Tigris di Iraq), Babylon, Parsi, Empayar Roman dan Islam. Cuma di bawah kekuasaan Islam mereka dilayan dengan adil.

    Di wilayah Iberia misalnya, pemerintahan Muslim memberi kebebasan kepada Yahudi memajukan diri dalam matematik, astronomi, falsafah, kimia dan filologi, sehingga zaman itu sering dirujuk sebagai zaman emas Yahudi.

    Pada masa awal Islam, Leon Poliakov menulis, orang Yahudi mendapat banyak keistimewaan dan masyarakat mereka bertambah maju. 

    Dalam tempoh penaklukan pelbagai kuasa besar, mereka acap kali diusir, malah dijual dalam pengabdian pada masa Empayar Roman. 

    Pada kurun kedua Maharaja Roman Hadrian membina semula Jerusalem yang hancur sebagai kota orang jahiliah dan dijadikan tempat upacara agama orang Yahudi. Marah dengan penghinaan itu, mereka memberontak. 

    Hadrian bertindak balas, memadamkan pemberontakan dengan membunuh lebih setengah juta Yahudi. 

    Kemudian pada zaman Roman Legions, orang Yahudi tidak dibenarkan memasuki kota Jerusalem (dikenali Muslim sebagai al-Quds atau Baitulmaqdis) dan kebanyakan ibadat mereka dilarang. Pada tahun 212, semua orang Yahudi dijadikan rakyat Roman. 

    Pada akhir kurun empayar Rom, orang Yahudi dan Kristian mengamalkan tolak ansur, tetapi arah tuju yang bertentangan.

    Orang Yahudi pernah bersekutu dengan orang Parsi yang menceroboh Palestin pada 614, tetapi apabila perintah Kristian diasaskan semula akhirnya mereka disembelih dan dilupuskan dari Jerusalem.

    Ternyata mereka tidak pernah belajar daripada penaklukan, penghinaan dan pemusnahan dialami sepanjang sejarah, akibat suka membuat onar dan bersengketa.

    Hari ini mereka bersengketa pula dengan orang Islam, terutama rakyat Palestin.

    Memahami Erti Jihad


    DALAM kamus Islam, jihad bermaksud perang pada jalan Allah. Tetapi, sejauh mana ia difahami, khususnya oleh masyarakat antarabangsa?

    Salah faham itu menyebabkan orang Islam sering dikaitkan dengan 'keganasan' (terrorism) sedangkan jihad dan keganasan jauh berbeza.


    Jihad bermaksud berjuang sedaya upaya pada jalan Allah seperti dijelaskan dalam al-Quran: "Dan Berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya." (al-Haj:78)

    Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda maksudnya: "Sesiapa mati padahal dia tidak berperang dan tidak pun pernah berniat hendak berperang, maka matilah dia seperti mati jahiliyah."

    Tetapi di Barat, jihad kerap disalah erti sebagai perang suci yang dianggap sama dengan perang suci orang bukan Islam seperti Kristian dan Yahudi sedangkan dalam terminologi Islam pengertiannya lebih luas.

    Jihad berasal dari perkataan juhd yang bermaksud kuasa dan upaya (at-taaqah) serta kesukaran (al-masyaqqah), membabitkan dua pengertian iaitu secara umum dan khusus.

    Pengertian umum jihad ialah segala daya usaha dan segenap kekuatan yang dicurahkan untuk menegakkan hukum dan perintah Allah di atas muka bumi ini dan membersihkan segala taghut yang menjadi penghalang kepada jalan dakwah. 

    Jihad umum ini merangkumi jihad harta, pembelajaran, politik, penyampaian dakwah dan peperangan. 

    Jihad dengan pengertian yang khusus merujuk kepada perang pada jalan Allah.

    Sayyid Abul 'Ala al-Maududi berkata: "Setiap orang yang berusaha untuk meninggikan kalimah Islam dengan menggunakan segala yang ada padanya daripada harta benda, jiwa raga, pena dan lidah, maka ia tanpa ragu lagi tergolong dalam orang yang berjihad di jalan Allah dengan pengertian jihad umum.

    "Tetapi kalimah jihad ini juga diungkapkan untuk pengertian jihad yang khusus iaitu peperangan dilakukan oleh kaum Muslimin untuk menentang musuh Islam kerana mengharapkan keredaan Allah, bukan duniawi."

    Menurut Syeikh Sayyid Sabiq, jihad ialah menggunakan sepenuhnya kekuatan, kuasa dan upaya yang ada dan menanggung kepayahan dan kesukaran untuk memerangi musuh dan menangkis serangannya.

    Di kalangan sarjana, ada yang memberikan pengertian lebih umum kepada jihad dengan turut memasukkan mujahadah iaitu jihad melawan hawa nafsu dan syaitan. 

    Ibnu Qayyim al-Jauzi meletakkan jihad dalam empat peringkat iaitu jihad terhadap hawa nafsu, syaitan, orang kafir dan munafik, orang zalim serta pelaku bidaah dan kemungkaran.

    Jihad adalah sesuatu tidak asing dari lembaran sirah perjuangan nabi.

    Menurut kiraan ahli sejarah, sepanjang 10 tahun nabi di Madinah, kira-kira 70 angkatan perang diutuskan untuk menghadapi peperangan dengan musuh Islam dan 28 angkatan itu dipimpin baginda sendiri.

    Dalam jihad ini baginda menggunakan beberapa jenis pedang seperti Ma'thur, pedang terawal dimiliki baginda sebagai harta pusaka dari bapanya, al-'Adhab dan Zulfiqar iaitu pedang yang tidak pernah berpisah dengan baginda yang dihiasi dengan perak.

    Justeru, orientalis melemparkan kritikan dan mengadakan dakwaan kononnya Islam berkembang dengan mata pedang.

    Sebenarnya matlamat peperangan dalam Islam ialah untuk meruntuhkan sistem kekufuran, menegakkan ubudiyah hanya untuk Allah serta menzahirkan keagungan, ketinggian dan kemuliaan Islam di atas muka bumi ini. 

    "Dan, perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi dan agama itu hanya semata-mata untuk Allah." (al-Baqarah:193)

    Maksud fitnah dalam ayat itu ialah kufur dan syirik, sebagaimana pendapat Ibnu Abbas, Qatadah, Mujahid dan Rabi'.

    Islam tidak sekali-kali bermaksud untuk memaksa manusia menganut Islam melalui peperangan.

    Mustafa al-Syiba'iy ada menegaskan, peradaban Islam adalah untuk mengajak manusia supaya saling kenal mengenal dan tolong menolong dalam keadaan damai. 

    Prinsip peradaban Islam, katanya, mengharamkan peperangan, tidak boleh menyerang, merampas harta benda dan menghina kehormatan sesuatu bangsa. 

    "Dalam Islam perang yang sah hanyalah bertujuan membela akidah dan moral umat dan kebebasan, kemerdekaan dan keselamatan umat," katanya, dipetik daripada buku 10 Tokoh Sarjana Islam Paling Berpengaruh.

    Jihad perang disyariatkan untuk tujuan membalas serangan musuh, tetapi tidak secara melampaui batas seperti ditegaskan pada ayat 190 surah al-Baqarah, bermaksud: "Dan perangilah di jalan Allah orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas."

    Ia juga diharuskan untuk membantu orang Islam yang lemah dan dizalimi orang kafir seperti dijelaskan pada ayat 75 surah an-Nisa' serta menghukum perosak agama dan masyarakat Islam termasuk golongan murtad, pemberontak, perompak dan lanun.

    Jihad bukanlah suatu peperangan secara agresif, yang menghalalkan semua perkara bagi mencapai kepuasan dan kepentingan diri termasuk merosakkan rumah ibadat, kanak-kanak dan wanita, haiwan dan tumbuhan. 

    Ia tertakluk kepada garis panduan yang sudah ditetapkan dan jika tidak ia tidaklah dikatakan jihad.

    Wasiat Saidina Abu Bakar kepada tentera Usamah jelas menggambarkan mengenai jihad dan garis panduannya, iaitu: "Jangan menyeksa, jangan membunuh anak kecil, orang tua dan kaum wanita. Jangan menyembelih kambing, lembu atau unta kecuali untuk dimakan. Kamu akan melalui orang yang sedang bertapa di kuil, maka biarkan mereka dengan apa yang mereka lakukan."

    Dalam perang Uhud, yang mana Rasulullah cedera dan kalangan sahabat meminta baginda mengutuk kaum musyrikin lalu baginda menjawab: "Aku diutuskan bukan untuk membawa laknat, tetapi diutuskan untuk menyeru dan pembawa rahmat."

    Kemudian baginda berdoa: "Ya Allah, tunjuki kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui."

    Ungkapan Rasulullah itu jelas menunjukkan baginda berperang bukan kerana hausnya pada pertumpahan darah seperti pemimpin empayar besar lain, tetapi kerana ingin menunjukkan jalan kebenaran.

    Usah Ungkit Kebaikan Yang Telah Dibuat

    ADA banyak perkara yang kita tidak boleh lupa. Kita tidak lupa ibu bapa, kita ingat harta benda dan antara yang kita tidak lupa ialah kebaikan yang pernah kita lakukan.

    Malah, sesetengah daripada kita apabila berjumpa orang yang pernah kita berjasa, teringat jasa kita.


    Kalau itu yang kita teringat, kita akan sentiasa banyak mengungkit dan mungkin nanti akan ada banyak halangan dalam berhubung sesama manusia. 

    Dalam pertemuan kali ini, mari kita mendengar pesanan dan nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya. 

    Pesannya: "Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan lupa kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan kepada orang."

    Mari kita perhalusi pesanan Luqman di atas. 

    1. Mengingati segala kebaikan yang dilakukan orang lain kepada kita. Apabila kita ingat kebaikan orang, kita akan berasa kekurangan kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain dan kita akan berusaha melakukan kebaikan.

    2. Mengingati segala kejahatan yang kita lakukan. Ini supaya kita tidak mengulangi kesalahan dan kesilapan kita terhadap orang lain.

    3. Lupakan kebaikan yang pernah kita lakukan. Apa-apa kebaikan yang pernah kita lakukan hendaklah kita lupakan, kerana Allah saja yang dapat menilai apa yang kita buat. 

    Ditakuti nanti, apabila kita sentiasa ingat kebaikan yang kita lakukan, menyebabkan syaitan akan memaut hati kita dan membisikkan supaya mengungkit kebaikan yang pernah dilakukan. 

    Orang yang mengungkit kebaikan yang dilakukan menyebabkan amalan berkenaan menjadi sia-sia dan tidak bernilai di sisi Allah. 

    Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Orang yang mengungkit kebaikannya sama seperti daun kering yang dijilat api."

    Betapa ruginya amalan perbuatan terbabit. Habis begitu sahaja hanya dengan sekali ungkitan.

    4. Lupakan kejahatan yang pernah dilakukan orang terhadap kita. Sebagai manusia, memanglah susah untuk kita melupakan kejahatan yang pernah dilakukan orang terhadap kita. 

    Bagaimanapun, agama kita menuntut supaya melupakan kejahatan mereka. Kita perlu melawan supaya kita boleh lupakan kejahatan orang lain. 

    Apabila kita melupakan kejahatan dan kesalahan orang lain, kita dapat membantu dan menolong mereka dengan melakukan kebaikan. 

    Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Orang yang baik ialah orang yang berbuat baik kepada orang membuat baik kepadanya dan membuat baik kepada orang yang membuat jahat terhadapnya."

    Lupakan kejahatan orang terhadap kita. Tiada guna mengingati kejahatan dan kesalahan orang kerana ia boleh merosakkan akal serta kebahagiaan hidup kita, malah menjadikan hidup kita tidak ceria. 

    Marilah kita sama-sama mengikhlaskan diri dalam segala tindakan tanpa mengingati dan mengungkit kebaikan yang dilakukan supaya mendapat keredaan Allah serta kebahagiaan dunia mahupun akhirat.

    14 Februari 2009

    Hari Kekasih 'Velentine's Day'

    Tarikh 14 Februari setiap tahun menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh pasangan bercinta sebagai hari untuk memperingati dan meluahkan cinta sejati kononnya kepada pasangan masing-masing. Amalan songsang seperti ini sudah menjadi taqwim tahunan remaja dan semestinya penganut agama Kristian. Lantas, remaja Islam di Malaysia diseru agar tidak terpengaruh dan meraikan sambutan Hari Kekasih (Valentine Day) yang disambut pada 14 Februari ini. Sudah jelas bahawa sambutan Hari Kekasih ini salah di sisi agama Islam dan bercanggah dengan aqidah Islam itu sendiri.

    Perbuatan untuk meraikan sambutan Hari Kekasih amat bercanggah dengan syara’ kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama kristian dan menjurus kepada kebobrokkan akhlak. Selain itu, sambutan yang tidak berfaedah ini dirai dengan penuh adegan maksiat seperti berdua-duaan, berpeleseran hatta membawa kepada perbuatan seks bebas. Hari yang dianggap “hari berbulan madu” bagi remaja sehingga mereka sanggup menggadaikan maruah demi membuktikan cinta mereka kepada kekasih masing-masing. Sesungguhnya budaya meniru budaya barat yang terpesong dan mencampurkan perkara aqidah mengikut kepercayaan agama lain adalah salah di sisi Islam.

    Dalam erti lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah Al-Kafirun ayat 1-6 )

    Nabi SAW dengan tegas telah melarang kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dalam hadis yang bermaksud, “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.”

    Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menyatakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam”.

    Para mufti di Malaysia juga telah bersepakat untuk memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang lalu.

    Melalui sejarah Valentine, jelas ianya dapat disabitkan dengan budaya Kristian yang menyatakan Valentine’s Day bermula dari kematian tragis seorang Paderi yang bernama St. Valentine yang dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang bernama Raja Claudius pada II (268-270M ).

    Bermula dari kisah ini mereka telah mengabdikan St. Valentine sebagai seorang tokoh yang hebat dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup. Maka, 14 Februari dijadikan sebagai hari perlambangan dalam memperingati kematian St.Valentine dan dianggap sebagai upacara keagamaan masyarakat Kristian.

    Justeru, Islam menyeru seluruh umat Islam khususnya remaja-remaja Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih dan menghindari perkara-perkara yang boleh membawa kepada sikap untuk meraikannya. Berikut adalah sikap-sikap yang perlu dihindari oleh remaja Islam pada Hari Kekasih :

    1- Sikap untuk keluar berfoya-foya sesama kekasih dan mengadakan majlis untuk menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti atau majlis seumpamanya.

    2- Menghantar kad-kad ucapan yang tertera kata-kata Valentine Day dan pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama kristian.

    3- Menulis ucapan kata-kata cinta di dalam kad yang diutuskan dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ianya juga sikap mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.

    4- Kebanyakan negara-negara Barat, parti-parti diadakan sempena hari tersebut disambut dengan pesta seks dan tari-menari. Kebanyakan mereka menghantar hadiah-hadiah seperti bunga ros dan sekotak coklat kepada sesiapa yang mereka cintai.

    5- Menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih untuk meluahkan rasa sayang bersempena dengan Hari memperingati kekasih (Valentine Day) sebagai tanda percaya akan “keajaiban” hari tersebut.

    Namun, segelintir pihak sanggup menaja majlis sambutan Hari Kekasih dan menjual barang-barang cenderahati untuk mempengaruhi remaja memperingati hari tersebut sehingga mengheret ke lembah makisat. Ironinya, remaja menganggap sambutan ini sebagai simbol kecintaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada pasangan. Islam melarang umatnya berlebih-lebihan dalam bercinta sehinggakan sanggup menyerahkan maruah kepada pasangan yang dicintainya.

    Sesungguhnya perbuatan ini juga bercanggah dengan syara’ kerana ianya juga menyumbang berlakunya perkara maksiat dan zina. Firman-Nya:“ Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan.” 9Surah Al-Isra’ ;32)

    Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk mengawasi anak-anak mereka agar tidak meraikan hari tersebut dan melalukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Selain itu, pihak pentadbiran sekolah dan institusi pengajian tinggi juga agar lebih proaktif untuk memastikan tidak wujud program sambutan kepada hari tersebut serta aktiviti bertukar-tukar bunga ros, kad-kad ucapan dan sebagainya.

    Secara kesimpulannya, Islam memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam kerangka syariat. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa, sahabat dan sesama masyarakat boleh dilakukan setiap hari dan tujuh golongan manusia yang akan mendapat lindungan `Arasy ialah salah satunya mereka yang berkasih sayang ( bertemu dan berpisah ) kerana Allah SWT.

    Firman Allah SWT : 'Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.' Surah al-Ghaafir: 39