31 Mei 2010

Nabi SAW terima perintah SOLAT

NABI Adam a.s gembira apabila menoleh kepalanya ke kanan kerana menyaksikan kalangan zuriatnya, iaitu umat manusia melakukan amalan baik dan akhirnya melayakkan mereka masuk syurga.

Namun apabila baginda menoleh ke kiri, di dapati ada juga kalangan umat manusia yang diseksa dalam neraka akibat balasan amalan-amalan jahat yang mereka lakukan, Ini menyebabkan Nabi Adam sedih dan kecewa.

Demikianlah di sebalik makna perlakuan yang ditunjukkan oleh lelaki bertubuh sasa dan tinggi yang pertama ditemui oleh Nabi Muhammad sejurus memasuki langit pertama dalam perjalanan Mikraj untuk menemui Allah di singgahsana Sidratul Muntaha.

Baginda begitu gembira dapat bertemu dan mengenali manusia pertama ciptaan Allah itu yang kemudiannya menjadi bapa kepada seluruh manusia di muka bumi ini.

Selepas memberi salam kepada Nabi Adam, Nabi Muhammad kemudiannya dibawa naik ke langit kedua dan di situ baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa. Diikuti langit ketiga, baginda bertemu Nabi Yusuf, langit kelima, Nabi Harun dan Musa di langit keenam.

Nabi Muhammad akan memberi salam dan mengakui kenabian kepada setiap nabi yang baginda temui.

Apabila tiba di langit ketujuh, Nabi Muhammad berpeluang menyaksikan Baitul Makmur, iaitu rumah ibadat, binaan sama seperti Kaabah bagi penghuni langit terutamanya para malaikat beribadah dan melakukan tawaf.

Sesetengah mengatakan terdapat hampir 70,000 malaikat yang melakukan tawaf di Baitul Makmur itu.

Ia dikatakan mempunyai kedudukan yang bertepatan dengan kedudukan Kaabah di bumi.

Di situ juga baginda melihat ada seorang lelaki yang wajahnya dikatakan hampir menyerupai Rasulullah sendiri.

Lalu baginda bertanya kepada Jibrail siapa lelaki berkenaan. Jibrail berkata: "Dialah nenek moyang kamu, Nabi Ibrahim."

Baginda sungguh gembira dengan pertemuan ini kerana dapat mengenali Nabi Ibrahim yang mempunyai sejarah kenabian sangat hebat terutama mampu mengalahkan Raja Namrud, berhijrah ke Palestin dan terpaksa meninggalkan isterinya Siti Hajar dan si anak Nabi Ismail. Dari situ ia menjadi titik permulaan pembukaan Kota Mekah dan mendirikan Kaabah seperti yang diperintahkan oleh Allah.

Sejurus pertemuan yang sungguh bermakna itu, baginda berjalan sehingga ke penghujung langit ketujuh.

Berubah bentuk

Di situ baginda melihat bagaimana malaikat Jibrail yang menyerupai manusia berubah kepada bentuk asalnya. Bentuk yang sama seperti yang baginda pernah temui buat pertama kali semasa berjalan ke pulang ke rumah dari Gua Hira'.

Kebenaran perkara ini tidak dapat disangkal. Ia benar-benar terjadi sebagaimana yang disebut dalam al-Quran, iaitu ayat 13 hingga 18 surah an-Najm yang bermaksud: Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibrail itu dalam rupanya yang asli iaitu berdekatan dengan Sidratul Muntaha, yang juga berdekatan dengan syurga al Makwa, (Muhammad melihat Jibrail) ketika di Sidratul Muntaha dilitupi oleh sesuatu yang melitupinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhan-Nya yang paling besar.

Selain bagi mengesahkan pertemuan Nabi Muhammad dengan malaikat Jibrail pada rupanya yang asal, ayat ini juga sebagai mengesahkan mengenai pertemuan agung antara Nabi SAW dengan Allah Rabbul Jalil secara bersemuka.

Inilah keistimewaan Nabi Muhammad dapat bertemu dengan Allah dalam keadaan jaga dan bersemuka walaupun pertemuan tersebut tidak turut dihadiri oleh malaikat Jibrail.

Sebelum itu Jibrail telah meminta Nabi Muhammad mara ke hadapan iaitu memasuki Sidratul Muntaha, tempat sangat luar biasa yang tidak akan mampu terfikir oleh manusia biasa.

Apabila Nabi Muhammad turut mengajak malaikat Jibrail untuk bersama-sama dengan baginda, Jibrail berkata: "Kalau aku selangkah mara ke hadapan, maka aku akan hangus terbakar."

Lalu di hadapan Allah itu yang dikatakan jaraknya hanyalah 'dua busur panah' atau lebih dekat lagi dari itu, Nabi Muhammad diperintahkan sembahyang 50 waktu sehari semalam.

Iaitu ibadat menyembah-Nya untuk dilakukan oleh Nabi Muhammad dan seluruh umat baginda setiap hari.

Berbanding ibadat lain yang difardukan melalui turunnya wahyu yang disampaikan oleh malaikat Jibrail namun ibadat solat adalah perintah secara langsung daripada Allah.

Sebab itu di hari kiamat perkara pertama yang ditanyakan oleh Allah terhadap setiap individu umat Islam ialah mengenai perihal solatnya.

Segala amalan kebaikan dan kebajikan yang lain seolah-olah tidak bermakna jika seseorang itu mengabai dan meninggalkan solat secara sengaja.

Selepas pertemuan itu, Nabi Muhammad pun turun ke langit ke enam dan bertemu semula dengan Nabi Musa yang bertanyakan mengenai hasil pertemuan baginda dengan Allah.

"Apa yang Allah perintahkan untuk umat kamu wahai Muhammad," tanya Nabi Musa.

"Allah memerintahkan aku dan umatku supaya mendirikan solat 50 fardu waktu sehari semalam," jawab Nabi Muhammad.

Musa pun berkata lagi: "Kaum Israel pernah diperintahkan kurang daripada itu tetapi itupun mereka tidak mampu laksanakan. Kamu naiklah lagi dan minta Allah ringankan (kurang jumlah fardu) solat itu."

Sesetengah riwayat menceritakan baginda terpaksa berulang kali menemui Allah semula bagi tujuan untuk meringankan jumlah fardu solat itu. Sehinggalah akhirnya ditetapkan ibadat solat itu difardukan lima kali sehari tanpa boleh dikurangkan lagi.

Itupun Nabi Musa tetap menggesa Nabi Muhammad dikurangkan lagi lima waktu itu.

Lalu baginda pun berkata: "Aku rasa malu dengan tuhanku, namun aku reda dan aku menyerah diri."

Sepanjang mikraj itu juga Nabi Muhammad diperlihatkan dengan pelbagai kehidupan di alam akhirat, iaitu alam yang kekal bakal didiami oleh seluruh umat manusia.

Turut diperlihatkan ialah pelbagai gambaran bentuk pembalasan terhadap apa juga amalan yang dilakukan oleh manusia semasa hidup mereka di dunia.

Namun yang paling berkesan pada baginda yang diceritakan kepada para pengikutnya ialah mengenai gambaran syurga dan neraka.

Apa pun gambaran mengenai syurga dan neraka tersebut, namun yang jelas kedua-duanya wujud di akhirat sebagaimana yang disebut berkali-kali dalam al-Quran.

Namun itu pun masih tidak dapat dipercayai oleh sesetengah pihak.

Jadi apabila Nabi Muhammad telah melihatnya sendiri dengan mata kepala baginda, adakah kita masih tidak mempercayainya lagi?

30 Mei 2010

Dosa-Dosa & Facebook

Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.

Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.

Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.

Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.

Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.

Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.

Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.

Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.


2) Terlebih gambar

Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.



Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.


Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.

Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.

Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini.


3) Penyamaran

Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.

Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.


4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.

Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.

Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.


5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.

Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.

Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.


Ini boleh menjadi dosa, kerana :-

a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.

b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.

c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.


6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan

Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.

Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.

Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.





KESIMPULAN

Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.

Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.

Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.

23 Mei 2010

Hati Nabi SAW Dibersihkan

ISRAK dan Mikraj mencatatkan banyak peristiwa penting yang ditempuhi dan dilihat oleh Rasulullah SAW. Semuanya diperlihatkan kepada baginda dengan jelas, bukannya untuk tatapan mata semata-mata.

Sesetengah riwayat mengatakan pada malam tersebut, nabi SAW berada di samping Kaabah sebelum dikejutkan oleh malaikat Jibrail untuk mengajak baginda menempuh peristiwa ini.

Ada yang mengatakan baginda sebenarnya berada di rumah isterinya, Ummu Hani sebelum dibawa ke Kaabah.

Di situ baginda dikatakan menjalani proses pembersihan hati seperti yang pernah dilalui sewaktu kanak-kanak, iaitu sewaktu dalam jagaan ibu susuannya, Halimatussaadiah. Mungkin juga proses ini adalah pertama dilalui baginda.

Dada baginda dibedah oleh malaikat Jibrail (dikatakan malaikat Mikail juga turut serta dalam proses itu) lalu dikeluarkan hati yang kemudiannya dicuci dengan air zamzam dan dibuang ketul hitam daripada hati tersebut.

Ia disebut juga sebagai 'alaqah, ketulan yang menjadi tempat syaitan membisikkan godaan dan menimbulkan perasaan was-was terhadap manusia.

Setelah selesai dada baginda dicantumkan semula dan diletakkan khatimun nubuwwah sebagai cap kenabian baginda.

Baginda kemudiannya menaiki kenderaan khas dari syurga, iaitu Buraq untuk melalui perjalanan jauh tetapi perlu dihabiskan dalam satu malam.

Dengan ditemani malaikat Jibrail yang menjelma sebagai manusia, baginda memulakan perjalanan ke Baitulmaqdis, di Palestin untuk ke Masjid al Aqsa.

Namun di beberapa tempat dikatakan baginda diarah berhenti dan sembahyang sunat dua rakaat.

Antara tempat-tempat berkenaan adalah:

l Negeri Thaibah (Madinah atau Yathrib), iaitu negara yang bakal baginda melakukan hijrah dan mendirikan negara Islam pertama di sana.

l Bukit Tursina, Mesir iaitu lokasi Nabi Musa a.s menerima dan bertemu dengan Allah.

l Baitul Laham, tempat Nabi Isa a.s dilahirkan oleh ibunya Siti Maryam.

Sepanjang perjalanan ke Masjidil Aqsa ini iaitu dalam kederasan Buraq, baginda diperlihatkan dengan pelbagai gambaran antara langit dan bumi, antaranya:

l Kaum yang sedang bercucuk tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah diberitahu Jibrail: "Itulah kaum yang berjihad fisabilillah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

l Baginda juga terbau yang sangat harum. Jibrail memberitahu: "Itulah bau dari kubur Mashitah (tukang sikat rambut anak-anak Firaun) bersama suaminya dan anak-anak mereka (termasuk bayi yang dapat bercakap meminta dirinya dicampakkan ke dalam kawah minyak yang menggelegak panas untuk menguatkan iman si ibu) yang kesemuanya dibunuh oleh Firaun kerana tidak mengakui Firaun itu tuhan kerana keimanan yang teguh terhadap Allah".

l Sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka akan bercantum, lalu dipecahkan lagi. Jibrail memberitahu nabi: "Itulah mereka yang berat kepala untuk bersujud (solat)".

l Sekumpulan manusia lagi, yang menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Lalu diberi makan api dan batu dari neraka jahanam. Rasulullah diberitahu, itu adalah balasan kepada mereka yang tidak mengeluarkan zakat harta.

l Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: "Wanita yang sangat tua itu merupakan gambaran umur dunia ini yang sangat tua dan hanya menantikan saat-saat untuk berlaku kiamat sahaja".

Terdapat pelbagai peristiwa lain yang disaksikan oleh baginda yang kebanyakannya adalah gambaran sebenar terhadap balasan-balasan Allah terhadap amalan-amalan hambanya di muka bumi ini.

Semua gambaran itu wajar menjadi iktibar kepada kita kerana segala yang dijanjikan oleh Allah adalah benar dan tidak ada sesiapa yang akan terlepas.

Baginda akhirnya tiba di Masjid Al Aqsa lalu ditambatnya Buraq pada dinding masjid tersebut yang kini dikenali sebagai The Wailing Wall (Tembok Menangis) sebagai tanda kesedihan kaum Yahudi apabila Baitul Maqdis pernah jatuh ke tangan orang Islam. Sehinggalah mereka berjaya merampas semula pada tahun 1967 lalu dijadikan tempat ibadat yang penting bagi kaum itu.

Mereka juga mendakwa bahawa di sebalik tembok ini merupakan sebahagian tapak kuil Nabi Sulaiman dan kerja-kerja menggali terowong sedang digiatkan dijalankan bagi membuktikan dakwaan mereka itu.

Lalu apa yang berlaku pada malam itu di dalam masjid Al Aqsa yang sangat suci dan mulia itu, adalah satu perhimpunan yang sangat luar biasa sifatnya.

Dengan segala kekuasaan yang Allah miliki lalu dihidupkan semua para rasul dan nabi untuk bertemu Nabi Muhammad SAW. Para ulama menganggarkan perhimpunan itu melibatkan seramai 313 para rasul dan 24,000 nabi.

Baginda kemudiannya mengimamkan sembahyang sunat dua rakaat bersama-sama para rasul dan nabi. Ia satu jemaah sembahyang dan perhimpunan yang tidak berulang di bumi ini sebagai tanda kemuliaan yang sangat tinggi kepada Nabi SAW sebagai penghulu kepada semua rasul dan nabi.

Selepas selesai perhimpunan itu, lalu Jibrail datang membawa satu bekas susu dan satu bekas arak kepada Nabi SAW. Lalu baginda pilih susu untuk diminum.

Jibrail pun berkata: "Kamu membuat pilihan yang betul. Jika arak yang kamu pilih nescaya ramai umat kamu yang akan sesat".

Seusai itu maka bermulalah satu lagi detik yang amat bersejarah apabila tiba masanya nabi SAW diangkat ke langit untuk peristiwa mikraj pula.

Peristiwa itu membolehkan baginda menemui Allah di Sidratul Muntaha yang tiada siapa dapat mempertikaikan kebenaran pertemuan itu.

Sehingga di saat itu tugas Buraq tidak diperlukan lagi kecuali dikatakan baginda diangkat dan kemudiannya menaiki tangga yang indah dari syurga.

Nabi Muhammad dan Jibrail pun menaiki tangga ke pintu langit dunia (Pintu Hafzhah) dan sejurus melangkah masuk ke pintu langit pertama itu, baginda menemui seorang lelaki yang sosok tubuhnya sangat tinggi iaitu 20 meter.

Rasulullah melihatnya, lelaki itu akan tersenyum apabila menoleh ke kanan dan akan menangis sebaik sahaja dia menolehkan kepala ke kiri.

Siapakah lelaki itu dan mengapa dia senyum dan menangis tiap kali menolehkan kepalanya itu?

21 Mei 2010

Huru Hara Kiamat

SURAH al-Takwir ini termasuk dalam kategori surah Makkiah. Ia berjumlah 29 ayat dan diturunkan selepas surah al-Masad. Hubungan surah ini dengan surah Abasa yang terdahulu ialah kedua-duanya menceritakan peristiwa hari kiamat dan bala bencananya.

Imam Ahmad, al-Tirmizi dan al-Hakim meriwayatkan hadis daripada sahabat Umar r.a yang mengatakan bahawa: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin melihat hari kiamat yang seolah-olah dia melihat dengan mata kepalanya, maka bacalah: Idhashshamsu kuwwirat, idhassama'un fatarat dan idhassama'un shaqqat".

Firman Allah SWT: Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap).

Al-Maraghi berkata: Tanda-tanda datangnya hari Kiamat ialah ketika matahari digulung, cahayanya pudar dan hilang ketika dunia mengalami kehancuran sehingga tidak ada satu pun benda di alam lain yang boleh menggantikan benda-benda itu.

Firman Allah SWT: Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak.

Syed Qutb berkata: Gugurnya bintang dimaksudkan ia kelak akan terjatuh bertaburan dari sistem yang mengikatnya dan akan padam cahayanya. Allah SWT sahaja yang tahu bintang manakah yang akan jatuh bertaburan.

Adakah kumpulan bintang-bintang yang dekat dengan kita atau galaksi yang terdiri dari ratusan juta bintang atau seluruh bintang yang tidak diketahui bilangannya melainkan Allah SWT.

Namun, yang pastinya ada bintang-bintang yang akan gugur bertaburan pada hari kiamat sebagaimana yang telah dijelaskan oleh berita yang benar ini. Tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah SWT sahaja.

Firman Allah SWT: Dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu)

Al-Maraghi berkata: Sehingga ikatannya terlepas dan terhempas di padang sahara dan terbang dibawa awan di atas kepala.

Firman Allah SWT: Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar.

Menurut al-Qurtubi bahawa tidak terurusnya unta bunting pada saat itu hanyalah sebagai perlambangan sahaja. Ini disebabkan pada hari kiamat sudah tidak ditemui unta bunting.

Tuhan menggambarkan huru-hara hari Kiamat bagaikan satu keadaan di mana seseorang berangan-angan mempunyai unta bunting 10 bulan yang nescaya unta itu akan dibiarkan sahaja kerana amat sibuk menjaga urusan dirinya sendiri yang lebih kritikal itu.

Firman Allah SWT: Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan.

Ibn kathir berkata: Dan umat manusia telah mengabaikan unta-unta pilihannya yang sedang bunting serta mengabaikan urusan kebajikannya sedangkan sebelum ini binatang itulah yang disayangi.

Ini kerana mereka disibukkan dengan hal yang lebih utama tanpa memikirkan kewujudan hari kiamat dan peristiwa lain yang akan berlaku.

Firman Allah SWT: Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur.

Al-Maraghi berkata: Ia juga bermaksud laut meluap. Perkara ini disebabkan airnya bergelombang bagaikan lautan api kerana di dalam perut bumi terdapat magma yang dapat menggegarkan permukaan bumi.

Pada ketika itu air mendidih dan terus berwap sehingga yang tinggal hanya bara api sahaja. Kajian saintifik telah menetapkan bahawa di perut bumi terdapat gunung-gunung berapi yang selalu bergejolak dan menimbulkan gempa bumi yang hebat boleh menghancurkan dataran bumi dan gunung-ganang di beberapa daerah.

Contohnya gempa bumi yang telah terjadi di Nessina, Itali pada tahun 1909 dan kemudian di Jepun. Dalam beberapa hadis disebutkan: "Bahawa laut itu adalah penutup neraka jahanam".

Firman Allah SWT: Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya.

Iaitu ketika jiwa itu kembali kepada jasadnya ketika memasuki awal kehidupan akhirat. Pendapat ini daripada Ikrimah, al-Dahhak dan al-Sya'bi.

Firman Allah SWT: Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, dengan dosa apakah ia dibunuh?

Syed Qutb berkata: Kerendahan jiwa manusia di zaman jahiliah mengakibatkan tersebarnya adat menanam anak perempuan hidup-hidup kerana takut malu dan miskin. Adat ini telah diceritakan oleh al-Quran sebagai merakamkan keburukan zaman jahiliah. Ketika inilah Islam datang menyelamatkan umat arab dari jurangnya yang dalam dan mengangkat darjat manusia seluruhnya.

Firman Allah SWT: Dan apabila surat-surat amal dibentangkan.

Ibn Kathir berkata: Oleh yang demikian, hendaklah seseorang memperhatikan dengan apa dia mengisi lembaran catatannya.

Mujahid berkata: Iaitu ditarik. Sedangkan al-Suddi berkata: Iaitu dibuka dan al-Dahhak mengemukakan: Mengelupas dan kemudian menghilang.

Firman Allah SWT: Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya.

Al-Maraghi berkata: Ketika langit sudah terbuka secara keseluruhan sehingga tidak ada lagi apa yang dikatakan atas dan bawah.

Firman Allah SWT: Dan apabila neraka dinyalakan menjulang.

Al-Qatadah berkata: Neraka itu dinyalakan oleh murka Allah SWT dan pelbagai kesalahan anak cucu Adam a.s.

Firman Allah SWT: Dan apabila syurga didekatkan.

Al-Dahhak, Abu Malik, al-Qatadah dan al-Rabi' bin Khaitsam berkata: Iaitu mendekati para penghuninya.

Firman Allah SWT: (setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.

Al-Maraghi berkata: Pada saat seluruh kejadian yang telah diterangkan di atas berlaku, barulah setiap orang mengetahui amalannya yang diterima dan yang ditolak.

Kebanyakan manusia yang sewaktu hidupnya di dunia ini tertipu oleh pujuk rayu syaitan, pada hari kiamat kelak akan mendapati amalan-amalan mereka itu ditolak dan tidak dihargai Allah SWT. Bahkan amalan itu dijauhkan daripada Allah SWT serta dia mendapat kemurkaan-Nya.

Orang yang melakukan amalannya dengan riak untuk dilihat oleh orang ramai, maka amalannya itu hanya dianggap usaha yang sia-sia sahaja dan tidak diterima oleh Allah SWT.

Oleh sebab itu, kita wajib memandang perbuatan kita dengan kacamata Islam dan menimbangnya dengan timbangan yang benar. Allah SWT hanya menerima amalan yang lahir daripada hati yang berisi keimanan, penuh cinta dan mengharapkan keredaan-Nya serta melakukan kewajipan-Nya dengan bersungguh-sungguh.

Semoga kita bertambah keimanan berkenaan dengan hari kiamat dan seterusnya menjadikan kita golongan yang mendapat keredaan daripada-Nya. Amin.

09 Mei 2010

Wanita Pelengkap Kaum Adam

WANITA dalam Islam mempunyai martabat yang tersendiri malah penciptaannya mempunyai rahsia, hikmah serta keistimewaan. Mereka bukan sahaja sebagai pelengkap kehidupan kaum adam tetapi juga penerus generasi manusia di alam ini.

Namun keistimewaan wanita bukanlah sampai ke tahap untuk diagungkan dan kelemahan mereka juga bukan bererti untuk dipijak dan ditindas.

Melihat asal kejadiannya juga yang dicipta dari sebahagian rusuk Nabi Adam a.s, ia tidak dicipta dari kepala kerana mereka bukan makhluk yang perlu dijunjung dan tidak juga diciptakan dari kaki kerana mereka bukan untuk dihina. Tetapi mereka dicipta daripada anggota yang dekat di hati untuk sayangi dan dilindungi.

Namun sejarah wanita dalam pelbagai tamadun dunia memperlihatkan pelbagai evolusi. Sama ada di bumi Arab, India dan China, sejarah wanita menyaksikan mereka menjadi pemuas nafsu kaum lelaki, dinafikan haknya dalam pemilikan harta, pendidikan, sosial dan sebagainya.

Kehadiran Islam meletakkan kedudukan mereka bersesuaian dengan fitrah kejadiannya. Mereka memiliki kekuatan tersembunyi yang sangat diperlukan oleh kaum lelaki sebagai penyempurna kehidupan.

Justeru, buku Wanita dan Keluarga ini membincangkan peranan wanita dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, masyarakat dan rumah tangga. Ia boleh dijadikan panduan untuk kaum wanita dan juga lelaki.

Wanita pada hari ini juga sentiasa berhadapan dengan cabaran dan mampu mencabar golongan lelaki dalam pelbagai bidang terutama kerjaya.

Namun, pada masa yang sama tanggung jawab utama sebagai isteri dan ibu menuntut kepada perhatian dan kualiti yang sewajarnya. Buku ini juga mengupas peranan wanita dalam Islam termasuk aspek pemilihan jodoh, perkahwinan dan tanggung jawab serta peranan terhadap suami.

Contohnya, aspek ketakwaan, akhlak kepada suami serta kebijaksanaan dalam berkomunikasi. Walau bagaimanapun, buku ini bukan sahaja perlu dibaca oleh kaum wanita sebagai panduan berumah tangga tetapi juga kepada kaum lelaki dan suami supaya saling memahami peranan masing-masing.

Ini kerana kebahagiaan itu lahir dari kedua-dua pihak yang berfungsi serta berperanan mengikut lunas-lunas Islam.

Selain itu, buku berharga RM25 ini juga menyediakan panduan bagi ibu bapa dalam mendidik anak-anak dalam menghadapi cabaran semasa. Bermula saat kehamilan, pendidikan anak dalam kandungan, kelahiran dan seterusnya sehingga anak itu membesar dan menjadi dewasa.

Peranan ibu bapa tidak pernah terhenti selagi nyawa di kandung badan. Pelbagai budaya hedonisme yang melingkari kehidupan masyarakat pada hari ini memerlukan ibu bapa mempertingkatkan ilmu serta bijak menangani perubahan minda dan sikap anak-anak.

Justeru, tidak ada erti pencen dalam mendidik anak-anak bagi ibu bapa waima anak itu telah berkahwin.

Transisi dunia kanak-kanak kepada remaja juga perlu difahami oleh ibu bapa supaya mendekati mereka dengan lebih berhemah dan menjadikan mereka sebagai sahabat.

Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 33 adalah antara panduan yang perlu dijadikan panduan dalam pendidikan anak-anak: Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutlah suatu hari (pada hari itu) seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah SWT adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah.

01 Mei 2010

Tanda² Saat Kematian

100 hari : Seluruh badan rasa bergegar.

60 hari : Pusat rasa bergerak-gerak.

40 hari : Daun dengan nama orang yang akan mati di arash akan jatuh dan malaikat maut pun datang kepada orang dengan nama tersebut lalu mendampinginya sehingga saat kematiannya. Kadang-kadang orang yang akan mati itu akan merasa atau nampak kehadiran malaikat maut tersebut dan akan sering kelihatan seperti sedang rungsing.

7 hari : Mengidam makanan.

5 hari : Anak lidah bergerak-gerak.

3 hari : Bahagian tengah di dahi bergerak-gerak.

2 hari : Seluruh dahi rasa bergerak-gerak.

1 hari : Terasa bahagian ubun bergerak-gerak di antara waktu subuh and asar.

Saat akhir : Terasa sejuk dari bahagian pusat hingga ke tulang solbi (di bahagian belakang badan).

Seelok-eloknya bila sudah merasa tanda yang akhir sekali, mengucap dalam keadaan qiam and jangan lagi bercakap-cakap.

******Bila Malaikat Mencabut Nyawa******

Baginda Rasullullah S.A.W bersabda:
"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:
"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S."

Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut.Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:

"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah." Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T.

Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A:"Roh itu menuju ketujuh tempat:-

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari Kiamat."

Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-

1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.


Sekian untuk ingatan kita bersama.

30 April 2010

Bina Identiti Muslim Berilmu

MEMBACA adalah amalan mulia dan dipandang tinggi dalam Islam kerana ia membentuk masyarakat berilmu yang membebaskan daripada lingkungan dunia kejahilan.
Hal ini dijelaskan Allah apabila menurunkan wahyu pertama kepada Rasulullah s.a.w mengenai kepentingan membaca. Firman Allah yang bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah al-'Alaq, ayat 1-5) Tanpa ilmu manusia dalam kegelapan dan menjadi mangsa tipu daya kehidupan dunia.
Memang ada perbezaan antara orang yang menuntut ilmu dengan serius dan mencari ilmu untuk tujuan tertentu. Bagi mereka yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu, membaca menjadi satu tabiat yang sukar dipisahkan. Semakin banyak buku dibaca, terasa kurangnya ilmu diterokai.
Hanya dengan ilmu pengetahuan manusia dapat mencipta kejayaan dan membentuk tamadun terbilang. Inilah yang ditunjukkan tokoh ilmuan Islam terdahulu seperti Ibnu Sina, Ibnu Al-Haitham, Al-Biruni dan Al-Khawarizmi. Allah berfirman yang bermaksud: "Allah akan meninggikan martabat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah, ayat 11) Bagi memupuk semangat suka membaca dikalangan individu, peranan ibu bapa penting. Pelbagai kaedah boleh dilakukan seperti bagi menarik minat membaca seperti memberi hadiah berbentuk buku ilmiah yang ringan kepada anak-anak.
Sudut bacaan atau perpustakaan mini di rumah boleh membina suasana membaca serta membudayakan ilmu yang lebih selesa dan kondusif. Pemilihan bahan bacaan berkualiti juga perlu dititik beratkan dalam proses membina identiti Muslim berilmu dan berakhlak mulia. Lambakan bahan bacaan di pasaran memerlukan ibu bapa bersikap lebih memilih bahan bacaan terbaik dalam proses menggalakkan anak-anak membaca. Kehebatan dunia teknologi pada zaman yang mencabar ini menjejaskan minat remaja memilih buku sebagai bahan bacaan utama. Kebanyakan mereka gemar terperap di hadapan komputer untuk melayari Internet atau berchatting berbanding membaca buku.
Justeru, usaha kerajaan menganjurkan "Kempen Bulan Membaca" setiap tahun perlu dimanfaatkan rakyat negara ini.
Dinyatakan di dalam kitab "Nashr Thoy at-Ta'rif" karangan Muhammad Abd Ar-Rahman bin Umar bin Muhammad bahawa Imam Syafi'e pernah berkata yang maksudnya: "Sesiapa yang hendakkan kejayaan di dunia maka hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang hendakkan kejayaan di akhirat maka hendaklah dengan ilmu." Keghairahan menerokai ilmu pengetahuan dan membaca bahan ilmiah jangan sesekali menjadi alasan kita meninggalkan al-Quran sebagai bahan bacaan seharian. Sesungguhnya ilmu Allah itu amat luas umpama hamparan lautan. Menjadi kewajipan kepada hamba-Nya untuk menimba seberapa banyak ilmu itu semata-mata untuk mengenali dan mendampingi Allah.
Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan." (Surah al-Kahf, ayat 109)

18 Mac 2010

Nafsu Perlu Diurus Dengan Sempurna

NAFSU buas dan nafsu binatang adalah sebahagian ungkapan yang kerap digunakan bagi menggambarkan betapa nafsu itu apabila gagal dikawal dengan iman maka ia pasti akan memburukkan keadaan.
Ungkapan terbabit juga mempunyai kaitan rapat dengan perilaku seks. Benar, terlalu banyak kes seperti suami yang 'makan luar', isteri gemarkan 'pucuk muda', ustaz menodai pelajar, pensyarah paksa pelajar buat oral seks dan remaja belasan tahun ditangkap ketika asyik memadu kasih.
Amat luar biasa perkembangan itu kerana kegilaan nafsu seks semakin hebat melanda kebanyakan orang di sekeliling kita.
Demikianlah nafsu jahat, apabila berada di tahap tinggi, ia tidak lagi mengenal sesiapa di hadapannya. Apa yang pasti dia dapat melunaskan hajat jahatnya.
Nafsu yang gagal dikawal sentiasa mendesak untuk melakukan perkara yang luar biasa. Bahan lucah pula sekarang berlambak-lambak dan amat mudah didapati. Masalah suka melihat gambar dan video lucah juga antara penyumbang terbesar kepada gejolak nafsu sehingga berlakunya zina di sana sini. Pernahkah kita terfikir kenapa ramai kanak-kanak perempuan dirogol? Ini kerana golongan berkenaan amat mudah diperdaya selain membuktikan perogol berada pada tahap tidak mampu lagi melawan nafsu sehingga tergamak menodai kanak-kanak sebaya dengan adik atau anak mereka sendiri. Jelas membuktikan tahap bahaya zina sekarang sangat meruncing sehingga virus itu mampu membunuh iman. Zina, seperti perkara lain yang boleh membangkitkan syahwat seksual adalah sama dengan dadah atau kegilaan orang ramai mengejar harta benda. Ia boleh membawa seseorang menjadi lupa segala-galanya. Sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sekiranya anak Adam itu mempunyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga, dan tidak disumbatkan ke dalam perutnya kecuali tanah (mati)". (Riwayat al-Bukhari). Dorongan ingin hidup berpasangan sememangnya naluri semula jadi yang dianugerahkan Allah kepada seluruh manusia. Namun, cara dan tindak tanduk yang tidak diiringi dengan akal dan iman boleh melunturkan pegangan apabila berdepan dengan ujian terbabit. Individu lain pula tidak boleh mendabik dada jika mereka tidak pernah diuji sedemikian rupa. Jadi berhati-hatilah dengan percakapan serta tindak tanduk kita kerana tidak mustahil Allah akan memberikan pula dugaan itu kepada kita pada bila-bila masa. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela; barang siapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang yang melampaui batas. (Surah al-Mukminun ayat 5 hingga 7). Ada sesetengah mereka menerima hubungan seksual sebelum kahwin itu sebagai satu perkara biasa dalam kehidupan. Maka amat beruntung dan bertuah sekali buat remaja yang tidak pernah terjebak atau jauh sekali mendekati zina. Semua tahu berzina adalah satu dosa besar yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan kelak. Mereka yang kini menjadi tunangan orang sekalipun bukan tiket bagi memadu kasih kerana syaitan sentiasa akan 'menyerang' mereka sehingga tertewas. Kejahatan yang pernah dilakukan walaupun dengan 'ringan-ringan' ketika bercinta akan memberi kesan buruk selepas mereka mendirikan rumah tangga serta kepada zuriat yang bakal mereka lahirkan.
Tidak hairanlah ia berpotensi melahirkan suami curang, isteri berzina dengan lelaki di tempat kerja dan anak yang berzina.
Persoalan mengenai remaja yang berdepan dengan dilema selepas terjebak dengan kegiatan hina ini menjadi antara topik utama yang sering diterima menerusi ruangan soal jawab agama di sisipan ini. Bahana itu menjadi tamparan hebat buat semua, tetapi fokus kepada pendidikan perlu dibuat daripada awal. Memang benar syaitan cukup bergembira dapat menewaskan manusia. Tiada jaminan khas meskipun orang itu bergelar ustaz, sudah beristeri, belajar dalam bidang agama sekalipun jika mereka gagal tewas dengan godaan yang satu itu. Bagi mencapai taubat yang sebenar, setiap individu perlu mempunyai kesedaran yang bukannya didesak dari luar kerana keinsafan itu terbit daripada ilmu dan iman. Seseorang perlu bertaubat nasuha supaya tidak mati dalam keadaan yang sangat hina dan keji. Malah pada zaman Rasulullah, datang seorang lelaki dan berbicara dengan baginda mengenai perihal keinginannya untuk berzina.
Sahabat lain ingin membunuhnya kerana sangat marah lantaran sikap kurang ajar yang dipamerkan lelaki berkenaan kepada baginda. Namun, Rasulullah tetap tenang dan bertanya kepada pemuda itu: "Sukakah kamu jika orang berzina dengan ibumu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan adikmu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan isterimu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan anakmu? Pemuda itu marah dan menjawab tidak suka sama sekali. Rasulullah berkata yang bermaksud: "Begitu jugalah orang yang kamu ingin berzina itu, dia adalah seorang anak, seorang ibu, seorang adik, seorang isteri lalu Nabi letakkan tangannya yang mulia di dada lalu berdoa untuk hamba Allah berkenaan. Pemuda itu sangat terharu dengan nasihat yang diberikan Rasulullah. Sebelum itu dia sangat mahu berzina, tetapi sekarang tiada yang lebih yang dibencinya selain daripada perkara terkutuk itu. Cerita zina yang berlaku pada akhir zaman ini dianggap biasa bagi mereka yang hilang pedoman. Umat Islam sama ada lelaki atau wanita memang sedang dilanda lemah kawalan nafsu syahwat.
Dengan menyedari setiap dosa yang dilakukan nescaya hati pasti terdetik mahu bertaubat. Allah pasti membantu mereka yang membulatkan tekadnya untuk berubah.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilannya yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya ( Surah an-Nisa ayat 17).
Kita perlu sentiasa benar-benar berharap Allah akan pasti mengampunkan dosa yang pernah dilakukan.
Firman Allah yang bermaksud: "Hai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah az-Zumar ayat 53).
Dengan kata lain, setiap pasangan yang masih segar dalam percintaan perlu menghindarkan diri daripada apa saja keadaan yang boleh membawa kepada zina. Segera lenyapkan apa juga cara yang boleh membangkitkan perasaan berahi termasuk ingin dibelai manja, berjalan berpimpin tangan serta berpelukan. Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata nafsu perlu diurus tadbir dengan sempurna dalam memenuhi keperluan serta kehendak manusia.
Hawa nafsu hadir dalam dua bentuk iaitu sederhana dan memuncak. Jika ia dalam keadaan memuncak, ia tidak lagi berpaksi kepada kawalan akal, hati dan roh sebenar. Sebab itu, manusia tidak boleh sesekali memandang remeh terhadap pelaksanaan ibadat. Ia perlu dilakukan dengan sempurna supaya dapat menghalang daripada melakukan maksiat.


Mengulas mengenai keadaan orang melakukan ibadat namun masih melakukan maksiat, Zamihan berkata ibadat yang mereka lakukan itu tidak ubah seperti lakonan kerana ia dilakukan dengan sambil lewa.

"Solat bertujuan mencegah manusia daripada melakukan perkara mungkar, jika mereka masih 'tegar' melakukan maksiat bermakna ibadat itu tidak dihayati sepenuhnya.


"Orang yang beramal dengan sempurna sudah pasti mendapat keberkatan dan terhindar daripada melakukan maksiat. Solat itu barangkali dilakukan hanya buat tatapan orang ramai saja," katanya.


Beliau berkata, Allah memberi jaminan jika manusia mengawal selia kualiti solat dengan baik ia akan memberi kekuatan dalaman. "Jadi, setiap manusia yang pernah tersilap langkah mereka perlu kembali bertaubat dan berazam tidak mengulangi kesilapan lalu," katanya.


Zamihan berkata, manusia perlu menunjukkan tahap kesabaran tinggi jika diuji hebat untuk melakukan maksiat. "Penting kepada kita untuk menjaga kehormatan diri kerana dosa silam tidak akan padam dan sentiasa berlegar-legar di ruang minda kita.


"Tiada gunanya mengecapi 'kemanisan' maksiat kerana ia hanya bersifat sementara, tetapi kesan dosa membuatkan seluruh hidup manusia dibelenggu perasaan bersalah walaupun sudah taubat," katanya.

14 Februari 2010

Valentine's Day

Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai kalangan masyarakat kita khususnya di kalangan muda-mudi, sekitar akhir tahun 1980-an beriringan dengan munculnya siaran-siaran televisyen yang banyak mengupas dan menayangkan iklan ataupun filem-filem yang bertemakan perayaan tersebut.

Perayaan Hari Kekasih semakin dikenali oleh generasi muda kesan dari budaya asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada media cetak mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali oleh mereka sebagai perayaan hari berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada mereka yang dicintai atau dikasihi.

Perayaan ini biasanya diraikan di kafe-kafe, hotel-hotel atau tempat-tempat yang romantik, yang mana setiap pasangan memberikan hadiah berupa bungkusan coklat atau bunga yang bertuliskan perkataan ‘I wish you will be my valentine’ kepada orang yang dikasihi. Setelah itu diadakan pesta-pesta yang diisi dengan hiburan seumpama nyanyian, tarian dan sebagainya. Ini tidak menghairankan kerana budaya ini sememangnya diimport dari budaya barat yang bersifat serba boleh dan hedonisme (menurut hawa nafsu).

Kebelakangan ini, pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa, mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasangpasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks.

Perkara ini pernah dikomen oleh Ku Seman Ku Hussain dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 November 2000 bertajuk ‘Apa dihairankan dengan parti buih.’ Beliau mengulas bahawa serbuan yang dibuat oleh pihak berkuasa ke atas ‘parti buih’ di Bangsar yang diraikan dengan tarian bogel dan pakaian mandi itu tidak menjadi hairan kerana beberapa tahun sebelumnya pernah ada penganjur yang ingin mengadakan parti yang serupa bersempena Hari Kekasih tetapi mendapat tentangan pihak jawatankuasa Masjid Abu Bakar al-Siddiq, Bangsar.

Antara contoh-contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program TV yang ditayangkan atas nama ‘Valentine’s Special.’ Di samping itu, didapati mereka sibuk memilih kad-kad ucapan Hari Kekasih, menempah cenderahati, jambangan bunga dan tempahan untuk makan malam bagi merayakan hari tersebut bersama pasangan masing-masing. Pihak hotel pula menawarkan pakej-pakej istimewa seumpama ‘Makan Malam Hari Kekasih atau Hidangan Makan Malam Romantik’ dan sebagainya yang mempunyai tujuan untuk menyambut Hari Kekasih.

Bagi merungkaikan isu ini, kita perlu mendalami dan memahami apakah maksud di sebalik Valentine itu sendiri serta asal-usul ia menjadi sebuah perayaan? Dari sudut bahasa, Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud; kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology and History of First Name).

Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine.

Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno, ratu kepada dewa-dewa dan dewidewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai symbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.

Manakala pendapat ketiga mengatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.

Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine merupakan perayaan keagamaan yang disambut oleh umat Kristian. Malah sekiranya kita merujuk kepada kenyataan-kenyataan pihak Kristian pada hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual di dalam agama Kristian.

Di dalam laman web Spiritrestoration.org: The Premier, Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah topik Definition of religious Holy Days (Pengertian Hari-hari Suci keagamaan), di bawah indeks Saint Valentine’s Day menyebut bahawa: “Christian celebration of
the love of God presented in Jesus and in the lives of Christian believers. St Valentine was a 3rd century martyr. This day is widely observed in the USA as a secular celebration of love.” Bermaksud : Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian, St. Valentine merupakan syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di USA sebagai perayaan cinta di zaman sekular.

Termaktub di dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa jua versi berkenaan dengan St. Valentine, kesemua mereka adalah dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut : At least three different Saint Valentines, all of them martyrs, are mentioned in the early martyrologies under date of 14 February. Bermaksud : Sekurang-kurangnya terdapat tiga orang St. Valentine yang berbeza, kesemua mereka merupakan syahid, ianya disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.

Manakala Britain Broadcasting Company (BBC) News Online Network melaporkan pada hari Ahad, 14 Februari 1999 bahawa terdapat dakwaan daripada biarawan di Gereja St. John Duns Scotus di Glasgow, Scotland bahawa wujudnya tulang Valentine yang syahid, ianya merupakan servis istimewa hari Valentine pada hujung minggu serta diletakkan di ruang pameran sebagai pameran umum dengan termaktub di atas kerandanya tulisan ‘Corpus St. Valentine Martyris’. Dikatakan bahawa mayatnya telah diletakkan di ruang sayap Gereja St. Francis semenjak berabad lamanya, dan enam tahun lepas mereka baru sahaja meletakkannya di dalam keranda kayu di dalam kotak kadbod di atas almari berhampiran rumah gereja.

Dalam pada itu, nama St. Valentine juga sering digunakan oleh gereja-gereja Roman Katolik bersempena mengingati jasa-jasa tokoh agama tersebut, seumpama St. Valentine Church di Philadelphia, Pennsylvania, St. Valentine’s Catholic Church di Peru, Illinois, St. Valentine Church di Bethel Park, Pennsylvania, St. Valentine Church di Thonstetten, Moosburg, Munich dan St. Valentine Church di Buffalo, New York.

Berdasarkan fakta-fakta di atas, jelas bahawa Hari Valentine merupakan salah sebuah perayaan yang menjadi amalan ritual di dalam agama Kristian. Ini sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih dalam soal yang melibatkan aqidah Islam.

Islam sangat prihatin dan sangat menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.;

“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (al-Kafirun ayat 1-6)

Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariah Islam. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.;

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Dalam hal ini Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memutuskan bahawa “Amalan menyambut Hari Valentine’s Day adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam”. Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

10 Februari 2010

Pilih Pasangan Soleh

PERKAHWINAN adalah fitrah semula jadi manusia bagi memelihara keturunan, sifat ingin dikasihi dan memberi kasih. Namun begitu, ramai yang sering terlupa bahawa pemilihan jodoh amat dititikberatkan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Seseorang perempuan itu dipilih untuk menjadi isteri berdasarkan kepada empat ciri iaitu kerana harta bendanya, kerana keturunannya (kemuliaan keturunan), kerana kecantikannya dan kerana pegangan agamanya.
Kerana itu pilihlah (berikanlah keutamaan) kepada perempuan yang berpegang teguh kepada agama, nescaya kamu bertuah (beruntung). (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim).
Bagi mereka yang merancang mendirikan rumah tangga, aspek pemilihan jodoh yang tepat berupaya menjadikan perkongsian hidup dengan pasangan kelak baik atau sebaliknya. Bagi mereka yang bijak, sudah tentu akan mengutamakan calon isteri atau calon suami yang beriman kepada Allah. Apa gunanya sekiranya kehidupan selepas berumah tangga menjadikan diri lebih jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah. Apakah hikmah di sebalik saranan Rasulullah memberikan panduan dalam memilih jodoh dengan mengutamakan calon isteri solehah? Dengan mempunyai nilai keagamaan, seseorang isteri itu memiliki akhlak yang baik serta dapat menjadi contoh teladan kepada anak. Alangkah bahagianya pasangan suami isteri apabila kehidupan alam rumah tangganya sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayang Allah.
Ramai mengimpikan kehidupan rumah tangga yang bahagia, tetapi persoalannya di manakah letaknya kebahagiaan rumah tangga itu? Adakah dengan kekayaan kehidupan seseorang itu sudah dianggap bahagia? Lihat saja berapa banyak sebenarnya kes perceraian berlaku setiap tahun di kalangan mereka yang mempunyai kemewahan hidup? Jadi di manakah kebahagiaan itu sebenarnya? Segala-galanya bermula dengan niat yang ikhlas sebelum mendirikan rumah tangga. Antara ciri isteri solehah adalah apabila dia taat kepada Allah, Rasulullah dan suaminya. Selain itu, dia menjaga solat lima waktu, berpuasa dan menjaga maruahnya. Sebaik-baik pemberian ke atas sesebuah rumah tangga adalah isteri yang solehah. Suami yang soleh juga adalah ketua dan pemimpin keluarga, mengajarkan ahli keluarga ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah dengan tidak membiarkan isteri mereka berada dalam kejahilan. Suami perlu banyak bersabar, selain menunjukkan contoh yang baik serta memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada isterinya, mendidik, menegur isteri dengan penuh berhikmah, saling berlapang dada dan pemaaf.

25 Januari 2010

Penuhi Syahwat Secara Halal

SESIAPA saja mempunyai naluri ingin hidup berpasangan dengan pilihan hati masing-masing. Hanya melalui ikatan perkahwinan saja seseorang itu dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal. Dalam Islam, hubungan yang dihalalkan melalui pernikahan itu bukan sekadar memenuhi hawa nafsu semata-mata tetapi ia adalah ibadah bertujuan melahirkan generasi dan zuriat soleh sebagai penyambung keturunan. Al-Quran menjelaskan pernikahan adalah untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah." (Surah al-Rum ayat 21).
Begitu indah perencanaan Allah yang menjadikan manusia melalui fitrahnya untuk hidup berkasih sayang bersama pasangannya. Allah menciptakan manusia berpasang-pasangan agar manusia dapat hidup lebih teratur selain dapat berkongsi suka duka bersama. Namun bukan mudah untuk memenuhi tuntutan sebagai pasangan suami isteri kerana perkahwinan perlu pengorbanan dan tanggungjawab.
Perkembangan dunia moden sekarang tidak menidakkan setiap orang amat mudah berjumpa dan mengenali 'calon berpotensi' untuk dijadikan teman hidup. Malangnya, kebebasan dengan budaya berpasangan dibimbangi mengundang banyak masalah terutama aktiviti seks sebelum berkahwin. Ramai bersetuju agar perkahwinan dipercepatkan.
Kita mungkin biasa dengar ada yang mengatakan; "Kejar cita-cita dulu baru kejar cinta", "esok anak dengan bini kamu nak bagi makan pasir?" apabila menyatakan hasrat mahu mendirikan rumah tangga dalam keadaan belum bersedia. Malah, ada beranggapan berkahwin pada usia muda mendatangkan pelbagai masalah. Lebih buruk, ia membabitkan campur tangan ahli keluarga bakal pasangan seperti adik beradik yang mempengaruhi keputusan ibu bapa dalam menyatakan soal sesuai atau tidak pasangan terbabit. Bagaimanapun, ia terpulang kepada diri masing-masing yang membawa haluan. Yang penting mereka perlu bijak dan bersedia mental dan fizikal sebelum melangkah ke alam yang penuh dugaan dan tanggungjawab itu.
Perkahwinan dalam usia muda memang baik bagi mengelak perilaku sumbang pasangan yang sedang bercinta. Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah. Tidak kira pada usia berapa pun, jika sampai jodoh dan ketentuan Ilahi, apa saja kehendak-Nya pasti akan berlaku.
Pada zaman dahulu, pasangan muda mendirikan rumah tangga dianggap perkara biasa, namun tidak pula pada zaman sekarang. Ramai anak gadis menamatkan zaman bujang ketika usia belasan tahun. Mereka menganggap jika lambat kahwin nanti tidak 'laku' selain ibu bapa bimbang anak mereka melakukan perbuatan luar batasan. Tidak dinafikan peluang melanjutkan pelajaran tidak seluas sekarang. Tidak hairanlah anak gadis di zaman dulu tamat saja persekolahan peringkat menegah terus mendirikan rumah tangga. Mereka dinilai jika pandai melakukan kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah dan menjaga adik-beradik sudah dikira layak untuk berkahwin.
Hari ini ramai menyambung yang pengajian ke peringkat lebih tinggi dan mahu mengecapi kejayaan dahulu sebelum memikirkan soal perkahwinan. Pujian dan galakan perlu diberikan kepada mereka yang 'berani' meninggalkan keseronokan hidup membujang dengan membuat keputusan untuk berkahwin muda. Sesetengah pihak beranggapan remaja berusia bawah 20 tahun masih 'mentah' untuk mengharungi kehidupan berumahtangga. Tetapi, perasaan itu pasti bertukar apabila mereka sudah mengalami sendiri pengalaman memikul tanggungjawab sebagai suami isteri. Jika ditentukan kita berkahwin dalam usia muda, mungkin itu jalan terbaik yang Allah tentukan untuk kita. Perkahwinan pada usia muda adalah cabaran besar kerana ia membabitkan sensitiviti, emosi serta perasaan cemburu tidak kiralah suami atau isteri. Justeru, perlu wujud persefahaman dalam memahami keperluan masing-masing.
Bagi pasangan yang bercadang mendirikan rumah tangga pada usia muda, kisah puteri kesayangan Rasulullah, Fatimah az-Zahra serta Saidina Ali boleh dijadikan contoh. Ketika berkahwin, Fatimah berusia 18 tahun yang mendapat bekas air diperbuat daripada kulit, sebuah kendi tanah, sehelai tikar dan batu penggiling jagung sebagai mahar daripada ayahnya. Nabi juga pernah berkata kepada puterinya, "Anakku, aku menikahkanmu dengan lelaki yang kepercayaannya lebih kuat dan lebih tinggi daripada yang lainnya, dan seorang yang menonjol dalam hal moral dan kebijaksanaan." Fatimah melaksanakan tugasnya sebagai isteri seperti mengambil air telaga dan menggiling jagung manakala Ali pula keluar bekerja mencari nafkah. Mereka terkenal dengan budi pekerti tinggi dan bersifat dermawan. Fatimah meninggal dunia di sisi Ali dan anaknya ketika berusia 28 tahun iaitu enam bulan selepas kewafatan Rasulullah. Rasulullah pernah menyatakan, Fatimah akan menjadi 'ratu segenap wanita di syurga'. Ada kaum lelaki dan ada pula kaum perempuan. Begitulah unik dan rahmat Allah menjadikan alam ini untuk hamba-Nya renungi.
Sebab itu, Rasulullah memberi bimbingan kepada manusia agar memilih pasangan atas empat perkara iaitu kecantikan, keturunan, kekayaan dan agamanya. Namun, lebih utama dari empat perkara berkenaan adalah agama yang menjadi tunjang kepada kebahagiaan rumah tangga yang dibina.
Pernikahan adalah alat mencipta keluarga bahagia. Ia bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat semata-mata tetapi pengisian nilai agama sangat penting dalam membentuk keluarga yang harmoni. Ekonomi kukuh, mengenali pasangan dengan lebih rapat, kesabaran serta persediaan psikologi adalah persediaan penting dalam mengharungi cabaran alam rumah tangga.
Kisah seorang bapa mengahwinkan anak perempuannya yang berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun di Kelantan baru-baru ini boleh dijadikan iktibar kerana ia tersasar menjadikan Sunnah nabi sebagai contoh. Bayangkan bagaimana seorang budak yang berumur bawah 12 tahun yang mungkin belum matang boleh menjalankan melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dalam mengurus rumah tangga dan menjaga kebajikan suaminya.
Maka, sesiapa yang mampu dan bersedia untuk berkahwin elok mereka segera berbuat demikian. Kalau hendak difikirkan soal duit, sampai bila-bila pun ia sentiasa tidak mencukupi. Allah sudah menjanjikan pelbagai nikmat dan ganjaran bagi mereka yang melakukan ibadah kahwin ini.
Hadis Rasulullah yang diriwayatkan Imam Al-Bukhari mengatakan bahawa: "Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah ia berpuasa kerana puasa adalah penahan hawa nafsu...."
Perkahwinan perlu dirancang kerana ada perbezaan hukum kahwin iaitu harus, sunat, wajib bahkan haram. Perlu lihat kemampuan untuk menguruskan tanggungjawab selepas kahwin. Kebaikan kahwin awal dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan salah laku nafsu disamping mempercepatkan kematangan. Keburukan kahwin awal adalah akan wujudnya hubungan 'fragile' jika sebarang masalah tidak dapat diurus dengan baik.
Perkahwinan adalah jalan keluar bagi menghalalkan hubungan tetapi kemampuan melaksanakan tanggungjawab itu tidak terletak pada umur tetapi terletak pada sikap serta kematangan. Kerana itu penilaian terhadap kemampuan untuk membina rumah tangga perlu dilihat secara menyeluruh. Tidak dinafikan bahawa keselesaan (bukan kemewahan) hidup penting dalam kehidupan rumah tangga. Jadi, kos untuk mewujudkan keselesaan hidup berbeza antara dulu dan sekarang.
Berkenaan rezeki selepas berkahwin tidak perlu dirisaukan kerana Allah memberi jaminan terhadapnya. Bab rezeki memang tidak perlu dibimbangi kerana itu adalah jaminan Allah kepada hamba-Nya tetapi kita perlu berusaha mencari nafkah buat keluarga.
Mengenai kes di mana seorang kanak-kanak perempuan dipaksa berkahwin dengan rakan bapanya sebagai mengikut sunnah nabi, Rahimi berkata itu perbuatan orang yang faham sunnah tidak menyeluruh. Individu berkenaan hanya mempelajari ilmu sekerat saja. Justeru, kepada yang berhajat berkahwin muda pastikan kita berjumpa dengan pasangan benar-benar diyakini. Mintalah ibu bapa faham dan menyokong usaha kita pada peringkat awal perkahwinan. Carilah pasangan yang dapat membahagiakan kita di dunia dan akhirat selain restu keluarga.

01 Januari 2010

Hidup Sihat Cara Rasulullah SAW

SETIAP manusia pasti risau dengan keadaan kesihatan mereka apabila mencapai satu tahap umur kemudian hari. Pada zaman sekarang penyakit tidak mengenal usia malah usia seawal setahun pun boleh diserang penyakit berbahaya.
Manusia sentiasa menginginkan kesihatan terbaik supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan sempurna. Bukan sekadar kesihatan fizikal malah menuntut kesihatan rohani dan sosial. Kesihatan yang baik akan menghasilkan badan sihat, emosi seimbang, jiwa dan rohani tenang yang menjadi penyumbang kepada kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Buku 365 tip sihat gaya Rasulullah ini merumuskan panduan gaya hidup sihat yang berlandas konsep kesihatan Islami yang diajar Rasulullah kepada kita 1,400 tahun dulu.
Panduan yang terkandung dalam buku ini tidak menimbulkan kesan negatif baik dalam jangka pendek mahupun panjang. Jika diamalkan, ia berupaya menghasilkan keputusan menakjubkan. Bagi mendapatkan tahap kesihatan terbaik dan awet muda, beberapa amalan penting perlu dilakukan sesuai dengan apa yang nabi anjurkan kepada kita. Ini termasuk perlunya kepada perilaku pintar, menjaga pemakanan, menjalani ibadat dengan sempurna, berdoa, melalui perubatan serta hidup dalam persekitaran sihat. Segala penerangan di dalam buku ini adalah hasil kajian daripada hadis Nabi Muhammad, petua pengamal perubatan Islam dan petua daripada ahli herba.

Antara tip menarik yang diutarakan di dalam naskhah ini adalah cara Nabi tidur.
Seperti yang kita ketahui nabi tidur dengan mengiring badannya ke kanan manakala tangan kanan menyokong kepala.
Dengan mengiring badan ke kiri ketika tidur dikhuatiri menekan perut yang akhirnya akan mengganggu proses pencernaan malah ia turut menekan jantung hingga mempengaruhi kemampuan jantung untuk mengepam darah.
Apabila badan jika sihat kita mampu melaksanakan segala perintah Allah dengan sempurna tanpa sebarang gangguan. Petua dalam buku ini disusun kemas tanpa penerangan yang panjang lebar. Jadi penjagaan kesihatan adalah aspek yang perlu ada dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim.