18 Disember 2009

Martabat Taqwim Hijrah

Jika ditanya tarikh bulan Islam, ramai yang menjawab tergagap-gagap. Jika tahu pun, kemungkinan hari itu jatuh pada hari kebesaran Islam seperti Aidilfitri (1 Syawal), Aidiladha (10 Zulhijjah), Maulidur Rasul (12 Rabiulawal) dan Awal Muharam (1 Muharam).

Kita terpaksa mengakui ramai lebih tahu kalendar masihi berbanding bulan Islam disebabkan terlalu mengagung-agungkan bulan terbabit berbanding bulan Islam.


Justeru, amat sesuai tarikh hari ini (1 Muharam 1431 hijrah) iaitu tahun baru dalam kalendar Islam kita meningkatkan kesedaran serta penghayatan terhadap taqwim hijrah.

Setiap kali tahun baru, kita tidak pernah terlepas menyatakan azam. Memang tiada seorang pun mahu mahu terus berada dalam kepayahan.

Sempena kehadiran bulan Muharam, fokusnya tertumpu kepada peristiwa agung penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w, bermula dari kota Makkah ke Madinah.

Rentetan sejarahnya nampak mudah tetapi jika diamati, ia menggambarkan pengorbanan, kesanggupan, kesusahan, ketaatan dan kekuatan iman yang dipamerkan umat Islam yang dipimpin Nabi Muhammad s.a.w. Penghijrahan itu memberi impak besar dalam perkembangan Islam.

Mereka sanggup meninggalkan harta benda, rumah, isteri, anak-anak malah mempertaruhkan nyawa sendiri demi melakukan hijrah dan menegakkan agama Allah.

Dalam penghijrahan itu umat Islam terpaksa menanggung pelbagai peristiwa getir kerana gerak geri mereka sentiasa diperhatikan kaum kafir Quraisy.

Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: "...(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurniaan daripada Allah dan keredaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar." (Surah al-Hasyr ayat 8).

Golongan kafir Quraisy menyedari jika tersebarnya agama Allah di muka bumi Makkah, ia akan merumitkan kebebasan mereka melakukan kezaliman seperti menipu, rasuah, zina, meminum arak, berjudi dan memperalatkan wanita.

Justeru, Rasulullah s.a.w melancarkan seruan dakwah dengan dua keadaan iaitu secara rahsia (sir) dan terbuka.

Maka bermula penentangan hebat yang menyaksikan pelbagai bentuk penindasan serta perpecahan di antara penduduk Makkah. Kebangkitan Islam di Makkah semakin memuncak sehingga penentangan mereka terhadap golongan kafir Quraisy menjadi-jadi.

Pembesar Quraisy tidak senang duduk melihat kebangkitan itu lalu menanam benih keraguan di hati masyarakat Makkah. Mereka turut mengaburi mata masyarakat dengan pelbagai ganjaran seperti wanita cantik, harta dan pangkat.

Malah, perkara itu turut ditawarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sebagai syarat menghentikan gerakan dakwah.

Apabila umat Islam memiliki kesungguhan untuk mengubah diri mereka, Allah pasti memberikan pertolongan terhadap hamba-Nya. Firman Allah s.w.t dalam al-Quran yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu." (Surah Muhammad ayat 7).

Penghijrahan Rasulullah s.a.w itu akhirnya membuahkan hasil apabila mengubah segala pengalaman lampau seperti permusuhan, kejahilan serta kemunduran kepada penyatuan persaudaraan, masyarakat berilmu dan berkeperibadian tinggi serta rancak dengan limpahan kemajuan.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Dan, orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya." (Surah al-Hasyr ayat 9).

Namun, di sebalik kesukaran berhijrah, ia memberi pengajaran mendalam kepada umat Islam. Di Madinah, tugas pertama Nabi Muhammad s.a.w adalah menyatukan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar.

Baginda seterusnya mengasaskan masjid pertama sebagai tempat ibadat, penyebaran ilmu serta tempat penyatuan hati umat Islam. Nama Yathrib ditukar kepada Madinah al-Munawwarah yang bermaksud bandar yang bercahaya serta memeterai piagam Madinah.

Nabi Muhammad s.a.w menjalinkan hubungan antara kabilah serta penduduk tempatan selain merangka kaedah membasmi kemiskinan dan memperkukuhkan tahap keselamatan negara.

Keadaan inilah yang dimanfaatkan Rasulullah s.a.w. dan sahabat r.a. mengerah usaha menyeru manusia kepada Islam sehingga akhirnya Islam tersebar ke seluruh dunia.

Saidina Umar r.a mengungkapkan kata yang bermaksud: "Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dan hari esoknya lebih buruk dari hari ini."

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin, berkata tahun hijrah dipilih tahun permulaan Islam berdasarkan strategi serta perancangan hebat peristiwa itu.

"Kenapa tidak dipilih hari kebesaran Islam lain sebagai tahun permulaan hijrah? Ini disebabkan peristiwa hijrah lambang kesungguhan dan pengorbanan umat Islam Makkah yang sanggup menggadai nyawa, meninggalkan segala harta benda untuk mencari keredaan Allah.

"Kemudian peristiwa hijrah ini menarik bukan kerana ia sarat dengan sejarahnya tetapi dengan 'pelancaran' strategi yang bijak serta terancang," katanya.

Katanya, umat Islam jangan menjadikan peristiwa hijrah ini satu catatan sejarah saja tanpa mengambil inti patinya.

"Peristiwa hijrah ini membuktikan Nabi Muhammad sanggup bersama-sama berkorban mengharungi kepayahan.

"Jika diikutkan statusnya sebagai kekasih Allah s.w.t, Nabi Muhammad s.a.w boleh membuat 'permintaan khas' bagi melakukan tugas sukar itu dengan mudah. Ini dibuktikan dalam peristiwa Israk bagaimana Nabi Muhammad naik ke langit dengan menunggang binatang digelar Buraq," katanya.

Beliau berkata, peristiwa itu mempunyai simbolik terhadap kerjasama erat antara umat Islam dan bukan Islam.

"Ini dikaitkan dengan pembabitan Abdullah bin Arqat yang menjadi penunjuk jalan dalam perjalanan bertolak ke Madinah. Jalan yang dilalui pula bukan jalan biasa kerana Abdullah memang mahir selok belok laluan berkenaan bagi mengelak dihidu kafir Quraisy yang sentiasa meneliti pergerakan Nabi Muhammad s.a.w," katanya.

Biarpun beribu bertahun lamanya peristiwa itu, ia tetap dikenang umat Islam sebagai bukti kejayaan.

Jangan bangga dengan nama Islam tetapi tidak menjiwai watak sebenar seorang Muslim sejati.

Jadikan roh kejayaan Nabi Muhammad s.a.w pada tahun hijrah ini sebagai detik bermulanya 'perjuangan' yang tidak ada penghujungnya iaitu perubahan seluruh jiwa ke arah kebaikan.

27 November 2009

Haji Mabrur

TERLALU besar ganjaran buat jemaah haji yang berjaya 'membawa' pulang bersama haji mabrur.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Kesalahan yang berlaku di antara umrah itu diampunkan, manakala haji mabrur pula tidak ada balasan baginya melainkan syurga." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Dari segi bahasa, mabrur mempunyai dua makna. Pertama bererti baik, suci dan bersih. Kedua bererti diterima dan mendapat keredaan Allah s.w.t.

Haji mabrur adalah haji yang membawa kebaikan kepada orang yang melakukannya. Menurut pendapat sebilangan ulama, haji mabrur tidak sesekali bercampur dengan perbuatan dosa sama ada kecil mahupun besar.

Orang yang memperoleh haji mabrur sentiasa kuat imannya serta semakin meningkat amal ibadatnya. Tetapi hakikatnya, bukan mudah untuk melayakkan kita menerima haji mabrur kerana ia menuntut keikhlasan dan kerja keras ketika melaksanakan tuntutan berkenaan.

Ketika melaksanakan ibadat haji, jemaah pasti diuji dengan hebat oleh syaitan dan iblis yang tidak berhenti menghasut serta menggoda hati manusia supaya lekas jemu dan tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan setiap perkara kebaikan.

Walau apa cara sekalipun, kita perlu gagahi segala bentuk gangguan itu dengan 'merangsang' diri melakukan seberapa banyak amalan kebaikan yang disertakan niat suci dan ikhlas.

Akhirnya kita berjaya menghalang kesemua godaan itu dengan tenang. Sesuai pula dengan laungan 'Labbaik Allahumma Labbaik' (Ya Allah aku datang memenuhi panggilan-Mu) iaitu menandakan setiap jemaah berasa diri mereka bertuah kerana menjadi sebahagian daripada jutaan umat yang terpilih menjadi tetamu pilihan Allah.

Dalam menentukan sama ada haji itu mabrur atau tidak, hanya Allah s.w.t yang lebih mengetahui. Tetapi ia sebenarnya dapat dirasai sendiri selepas kehidupan mula berubah menjadi lebih baik berbanding sebelum menunaikan haji.

Terdapat banyak tanda bagi golongan yang mendapat haji mabrur, antaranya amalan serta pengetahuan agamanya semakin meningkat hasil daripada usaha berterusan menambah pengetahuan agama.

Mengerjakan solat di masjid secara berjemaah perlu diteruskan secara berterusan (istiqamah). Jika sebelum ini lebih gemar mengerjakan solat secara bersendirian, pertingkatkan langkah dengan menjaga waktu sembahyang dan meluangkan masa bersolat berjemaah.

Amalan membaca al-Quran perlu dimasukkan ke dalam jadual harian. Setidak-tidaknya, membaca beberapa potong ayat al-Quran dan jika masih terdapat kekurangan dalam pembacaan, disarankan mencari guru supaya bacaan bertambah baik.

Menghadiri majlis ilmu boleh mendekatkan diri dengan Allah, malah lebih baik jika ilmu yang dipelajari itu dimanfaatkan kepada orang lain. Antara cara lain, mendengar program bual bicara agama di televisyen atau radio yang mampu meningkatkan kesempurnaan dan kefahaman dalam beribadat.

Pengisian dengan solat sunat juga salah satu amalan yang patut dilakukan. Jika sebelum ini, liat mengerjakan solat seperti hajat, taubat, tasbih serta tahajud, jadi sebagai usaha penambahbaikan, solat sunat ini dapat mengimbangi kekurangan ibadat wajib.

Selain itu, ia mampu membantu diri ke arah pembentukan sahsiah Muslim yang unggul, ampuh dan sejati. Dari segi pertuturan pula, haji mabrur memperlihatkan perubahan jelas dalam percakapan, tingkah laku, pergaulan serta cara berpakaian.

Tutur kata mencerminkan sifat sebenar diri seseorang. Semakin kotor dan biadab kata-kata, maka semakin tidak bermutu diri kita.

Nabi Muhammad s.a.w seorang yang paling benar bicaranya, biarpun sedikit kata-katanya, ia cukup berhikmah dan bernilai. Seorang haji mabrur sangat memilih kata yang bakal diucapkan. Tidak sewenang-wenangnya dia melemparkan kata-kata kesat, memperlekehkan individu lain serta berasa bongkak dengan kehidupan yang dimilikinya.

Selain itu, Allah s.w.t menjanjikan, tidak akan menjadi fakir kepada mereka yang menunaikan haji. Malah sekembalinya mereka dari Tanah Suci, akan bertambah rezeki serta makin tenang hatinya.

Menurut perunding motivasi dan penceramah, Ahmad Shukri Yusoff, untuk mendapat ganjaran haji mabrur, ia memerlukan komitmen tinggi iaitu perlu menjaga setiap rukun dan wajib haji dengan berkesan.

"Perkara yang boleh dicontohi ialah bagaimana jemaah haji dulu (datuk nenek) menjadikan pemergian mereka ke Tanah Suci sebagai puncak kehidupan mereka.

"Mereka menjadikan peluang mengerjakan ibadat haji dengan penuh kesungguhan, akhirnya pulang ke tanah air dengan membawa perubahan diri yang besar," katanya.

Ahmad Shukri berkata, perubahan menuntut pengorbanan yang besar dan tidak semestinya berlaku secara drastik. Namun usaha untuk memperbaiki diri sentiasa disemat bagi memungkinkan ia tercapai.

"Perubahan tidak akan berlaku sekelip mata dan proses memperbaiki diri ini memerlukan komitmen dan masa.

"Jemaah haji perlu menjadikan tujuan mereka ke Tanah Suci sebagai perjalanan rohani bagi mendapatkan nikmat kemuncak iaitu haji mabrur," katanya.

Ahmad Shukri berkata, individu yang pulang mengerjakan haji tanpa sebarang perubahan ke atas dirinya, bermakna dia bukan seorang 'haji'.

"Dari segi tanggungjawab terhadap agama dan rukun haji itu sendiri memang sudah terlaksana, namun ia perlu sesuai dengan gelaran haji yang mereka terima.

"Sebagai contoh, sebelum mengerjakan haji dulu, dia seorang yang panas baran serta pemarah tetapi selepas menunaikan haji, sifatnya beransur baik dengan memberikan perhatian dan kasih sayang kepada keluarga, rakan dan orang di sekelilingnya. Itu jelas menandakan hajinya diterima Allah s.w.t ," katanya.

Katanya, jika dia sedang berkecimpung dalam perniagaan, selepas mendapat haji mabrur, dia tidak lagi terbabit dengan perkara atau aktiviti salah.

"Perniagaan bukan saja untuk membantu diri serta keluarga, malah dapat melebarkan peluang pekerjaan kepada umat Islam lain," katanya.

Amat malang jika terdapat segelintir individu yang berkesempatan menunaikan haji pada usia muda tetapi menjadikan gelaran itu sebagai lambang kemegahan dan terang-terangan bersifat sombong serta bongkak.

Oleh itu, jadikan pengembaraan haji sebagai satu perjalanan 'meleburkan' segala dosa silam dan beriltizam menjadi insan yang lebih baik.

Untuk itu, elakkan diri daripada perkara 'jidal' (pertengkaran atau perbalahan) sepanjang berada di Tanah Suci. Ia nampak kecil, namun kesannya cukup besar dan boleh 'menidakkan' seseorang itu mendapatkan haji mabrur.

Pertengkaran boleh menyakiti hati insan lain dan menyebabkan pelakunya berdosa. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah berkata baik atau diam."

Jemaah haji perlu tekun mengerjakan solat jemaah, membaca al-Quran di Masjid Nabawi dan seterusnya mengekalkan amalan selain ditambah dengan tawaf sunat dan umrah silih berganti sehingga selesai menunaikan ibadat haji sepenuhnya.

25 November 2009

Wahabi

GERAKAN Wahabi diasaskan Imam Muhamad bin Abdul Wahhab At-Tamimi (1703-1791). Beliau muncul ketika pengaruh mazhab Hambali sedang merosot dan umat Islam ketika itu melakukan pencemaran akidah seperti khurafat dan bidaah.

Perkembangan fahaman berkenaan di Malaysia kebanyakan dibawa pelajar yang pernah menuntut ilmu agama di negara Arab yang terpengaruh dengan ajaran itu.

Kehadiran golongan itu di sini dapat dirasakan berikutan ada pengikutnya berani mencerca ulama ahlu Sunnah Wal-Jamaah termasuk amalan sunat yang terdapat dalam ajaran Islam seperti doa qunut dan berzikir selepas solat.

Aliran Wahabi ibarat api dalam sekam dan boleh mengancam negara dan menyebabkan umat Islam bergaduh sesama sendiri jika tidak dibendung pihak berkuasa agama di Malaysia.

Mereka juga seperti musuh dalam selimut kerana sukar untuk mengenal pasti golongan ini apatah lagi mereka turut hadir dalam majlis agama, bersolat di masjid atau surau dan tidak mengaku diri mereka pengikut ajaran Wahabi.

Bagaimanapun, secara halus mereka menyusup dalam kelompok masyarakat Islam di negara ini dengan menghina mazhab Ahlu Sunnah Wal-Jamaah yang menjadi rujukan umat Islam dengan membawa Islam mudah sehingga masyarakat keliru.

Mazhab Ahlu-Sunnah dalam syariat beragama sangat penting bukan saja kepada umat Islam sendiri, malah seluruh masyarakat.

Fahaman Wahabi turut menolak ijmak dan qias. Ijmak ialah persepakatan dalam hukum syarak di kalangan umat Islam dari satu zaman ke satu zaman selepas Nabi Muhamad s.a.w wafat.

Ini jelas dibuktikan dengan firman Allah s.a.w yang bermaksud: "Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya) dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman. Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." (Surah an-Nisaa', ayat 115).

Jadi, wajib kita mengikut apa yang diputuskan ijmak kerana ia senarai yang ketiga terpenting daripada sumber perundangan Islam.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemantauan Akidah dan Pentauliahan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Ustaz Mahfuz Mohamad, fahaman Wahabi bertapak di negara ini sejak awal tahun 1900 apabila Sheikh Abdul Hadi membuka sekolah agama di Melaka.

"Bagaimanapun, sekolah itu tidak mendapat sambutan dan beliau berpindah ke Pulau Pinang. Melalui sekolah itu lahir tokoh fahaman Wahabi iaitu Sheikh Abu Bakar al-Ashaari.

"Selepas menamatkan pengajian di sekolah terbabit pada tahun 1925 beliau menyambung pengajiannya di Mesir dan pulang ke negara ini pada tahun 1932.

"Beliau menyebar fahaman Wahabi di Pulau Pinang, tetapi mendapat tentangan hebat ramai tokoh ulama ahlu Sunnah, antaranya Sheikh Abdullah Fahim.

"Beliau lari ke Kedah dan kemudian menetap di Perlis bagi menyebarkan fahaman Wahabi," katanya.

Mahfuz berkata, ketika itu ia dinamakan fahaman muda atau mudah kerana mereka selalu bermudah-mudahan.

Ini dicatatkan di dalam Kitab Senjata Syariat yang diterbitkan pada tahun 1953 khas bagi menjawab gerakan Wahabi oleh tiga tokoh ulama besar ketika itu: Sheikh Abdullah Fahim, Haji Ahmad Tun Hussein Pokok Sena dan Sheikh Abdul Rahman Abdullah Merbok.

Abu Bakar as-Ashaari pernah menerbitkan buku bertajuk Ibadah Rasulullah s.a.w yang menimbulkan keraguan kerana 'menjelmakan' petua menghalalkan memakan biawak, ular, labi-labi dan penyu.

"Di dalam buku itu, Abu Bakar as-Ashaari mencaci amalan bermazhab yang dikatakan haram dan bidaah dalal.

"Ulama ketika itu sudah memberi amaran bahawa gerakan Wahabi sudah menyusup dalam masyarakat dan perlu membendung segera," katanya.

Hasil ketegasan ulama sebelum ini, fahaman Wahabi kian menyepi, tetapi kini muncul kembali berikutan banyak kelonggaran yang diberikan kepada sesiapa sahaja atas 'tiket' menyebarkan Islam.

"Golongan Wahabi tidak berpegang kepada mana-mana mazhab kononnya hanya berpegang kepada al-Quran dan hadis.

"Tetapi, sejarah membuktikan ramai tokoh tersohor Islam seperti Imam Nawawi, Imam al-Ghazali, Termidzi, Bukhari dan Muslim berpegang kepada mazhab yang empat itu," katanya.

Katanya, tuduhan Wahabi terhadap beberapa amalan yang sudah menjadi kebiasaan masyarakat Islam di Malaysia seperti doa qunut, membaca al-Quran di atas kubur dan wirid selepas solat membuatkan umat keliru.

Merujuk kepada buku Makna Sebenar Bid'ah : Satu Penjelasan Rapi yang dikarang oleh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari yang turut disemak oleh Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Murtadza Ahmad, Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya serta Yang di Pertua Persatuan Ulama Malaysia, Saleh Ahmad menyebutkan ulama bersepakat mengenai pembahagian bid'ah antara yang terpuji dan tercela. Orang pertama yang mengatakan demikian ialah Umar r.a.

Ulama juga bersepakat bahawa sabda Rasulullah s.a.w yang menyebutkan: "Setiap yang bid'ah itu sesat" adalah hadis umum yang perlu dikhususkan.

Imam al-Syafie berkata: "Setiap yang mempunyai sandarannya dari sudut syarak, bukannya bid'ah sekalipun tidak diamalkan oleh generasi salaf. Mereka meninggalkan perkara itu mungkin kerana keuzuran."

Al-Imam Ibn Lub dalam menyangkal pendapat golongan yang tidak menyenangi amalan berdoa selepas sembahyang mengatakan perkara berkenaan tidak diamalkan generasi salaf.

Namun, tidak mungkin mengatakan hukumnya haram atau makruh kerana perkara yang dilakukan itu mempunyai asas dalam syarak.

Mengenai amalan membaca wirid beramai-ramai selepas sembahyang. Memang ia tidak pernah berlaku pada zaman Nabi s.a.w, tetapi tidak haram. Sesiapa yang mendakwa amalan ini diharamkan bererti dia melakukan pembohongan atas nama Allah s.w.t.

Pengharaman amalan itu tidak disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Hadis Muslim yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah menyebutkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Tidaklah berkumpul satu kaum di dalam rumah Allah sambil membaca al-Quran dan mengulangkaji antara sesama mereka melainkan turunlah kepada mereka ketenangan, dan mereka diliputi oleh rahmat dan dinaungi oleh malaikat, dan Allah menyebut perihal mereka kepada makhluk yang di sisiNya."

Hadis ini memberikan kefahaman bahawa membaca al-Quran secara beramai-ramai di dalam masjid adalah disyariatkan.

Dalam Sahih Muslim terdapat juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya'ari daripada nabi s.a.w yang bersabda yang maksudnya: "Selalulah membaca al-Quran, demi Dia Yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, al-Quran itu lebih mudah terlepas (hilang) daripada unta yang diikat." (Muslim. Kitab Salah al-Musafirin (231/791).

Kesimpulannya, dari segi tauhid, fahaman Wahabi bukan ajaran baru atau termasuk antara 73 cabang ajaran sesat, cuma ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam masyarakat Islam kerana pendekatan yang diambil terlalu mudah tetapi bahaya.

INFO

Amalan dalam fahaman Wahabi antaranya:

# Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan Ibnu Taimiyyah

# Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab, malah boleh berpegang antara satu sama lain (Talfiq)

# Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias

# Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan)

# Melarang ziarah kubur walaupun makam Rasulullah s.a.w

# Menghancurkan tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat Islam syirik

# Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya

# Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Israk Mikraj dan lain-lain

# Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya

# Fahaman Asa'ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh

# Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah

# Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah s.a.w

# Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan, tetapi boleh baca dengan lurus sahaja

# Mengadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang

# Amalan tariqah dilarang sama sekali

# Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras

19 November 2009

Tunai Haji Lebih Dari Sekali

Allah SWT mengurniakan rezeki kepada seluruh makhluknya tanpa kecuali. Rezeki yang diberi itu berbeza; ada yang rajin berusaha maka dikurniakan lebih. Ada yang kurang berusaha maka dikurniakan-Nya mengikut usahanya.

Bagi yang berkesedaran tinggi digunakan rezeki yang dikurniakan untuk menjadi tetamu Allah SWT mengerjakan ibadat haji dan umrah di Tanah Suci Mekah.

Bagaimanapun kekerapan menunaikan haji dan umrah menimbulkan ketidakpuasan hati sesetengah pihak.

Justeru, perbincangan mengenai implikasi jemaah haji mengerjakan haji lebih daripada sekali telah dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-20 yang bersidang pada 2 April 1988.

Muzakarah mengambil keputusan bersetuju menerima dan menyokong pendapat yang dikemukakan oleh Lembaga Tabung Haji (LTH) iaitu prinsip hukum bahawa implikasi jemaah haji menunaikan haji lebih daripada sekali adalah berkebajikan di dunia dan beroleh ganjaran yang besar di akhirat.

Terserahlah kepada orang perseorangan setelah ia mendahulukan amalan-amalan yang wajib ke atasnya daripada mengerjakan amalan sunat itu.

Ahli Muzakarah mengambil keputusan di atas bersandarkan kepada beberapa hujah seperti berikut:

i. Hukum mengerjakan ibadat haji lebih dari sekali adalah sunat. Perkara ini adalah disandarkan kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a yang bermaksud: "Wahai umat manusia diwajibkan atasmu haji. Tiba-tiba berdiri Aqra' bin Habis yang bertanya: Apakah pada tiap tahun ya Rasulullah? Jawab Nabi: Jika aku benarkan, tentulah menjadi wajib. Dan seandainya wajib kamu tidaklah akan melakukannya dan tidak sanggup. Haji itu hanya sekali. Maka barang siapa mengerjakan lebih daripada sekali adalah sunat".

ii. Beberapa hadis telah menyebut secara jelas tentang kelebihan mengerjakan ibadat haji lebih daripada sekali. Antaranya adalah seperti berikut:

a. "Barang siapa yang mengerjakan haji sekali, sesungguhnya ia telah menyempurnakan haji wajibnya, barang siapa yang mengerjakan haji dua kali, sesungguhnya ia telah menghutangkan tuhannya dan barang siapa mengerjakan haji tiga kali, Allah berjanji mengharamkan rambutnya dan tubuhnya daripada bakaran api neraka".

b. "Perbelanjaan untuk haji sama seperti perbelanjaan di jalan Allah iaitu 700 kali ganda".

iii. Terdapat juga hadis qudsi yang menunjukkan celaan ke atas orang yang mampu tetapi tidak mengerjakan haji lebih dari sekali. Antaranya seperti hadis berikut yang bermaksud: "Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman: Bahawasanya seseorang hamba yang aku telah kurniakan kesihatan tubuh badannya dan aku luaskan kehidupannya selama lima tahun, dia tidak juga mengunjungi Aku, maka tertegahlah dia daripada mendapat pahala dan tersingkirlah dia daripada mendapat keredaan Allah.

iv. Daripada hadis-hadis yang menerangkan kelebihan mengerjakan haji lebih daripada sekali dan juga celaan kepada mereka yang mampu mengerjakan haji lebih daripada sekali tetapi tidak berbuat demikian, dapatlah disimpulkan bahawa orang yang mengerjakan haji lebih daripada sekali itu beroleh kebajikan yang banyak dan ganjaran yang besar.

Bagaimanapun bagi mereka yang mampu mengerjakan ibadat haji lebih daripada sekali tetapi tidak pula mengerjakannya adalah dicela oleh Allah SWT.

v. Implikasi kebajikan dan pahala ialah kesenangan, kebahagiaan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Sementara implikasi celaannya pula ialah kesusahan dan kesempitan perasaan kepada kehinaan hidup di dunia dan akhirat.

Penutup

Kesimpulannya sekiranya berkemampuan, seseorang itu dibenarkan menunaikan haji lebih daripada sekali.

Bagaimanapun perlu diingatkan dia hendaklah mendahulukan amalan-amalan wajib yang lain seperti membiayai persekolahan anak-anak, memberi nafkah mencukupi kepada isteri dan ibu bapa yang telah uzur daripada mengerjakan amalan sunat itu (mengerjakan haji kali kedua dan seterusnya adalah sunat).