22 Mac 2009

Al Quran Sentiasa Terpelihara

Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong. Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka, dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (Wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat - (pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara). (ali-‘Imran: 56-58)

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Ayat-ayat ini merupakan kesinambungan daripada kisah yang terdahulu iaitu peperangan yang berlangsung antara kebaikan dan kejahatan".

Muhammad Quraish Shihab berkata: "Selepas Allah menjelaskan bagaimana ganjaran yang akan diperolehi Isa a.s, maka Allah menyatakan balasan yang menanti orang-orang kafir yang melakukan dan merestui tipu daya terhadap beliau serta ganjaran yang menanti orang yang beriman".

Ayat ke-56

Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Jauzi berkata: "Maksud mereka yang kafir dalam ayat ini adalah Yahudi dan Nasrani dan azab yang ditimpa ke atas mereka di dunia dengan pedang dan jizyah sedangkan di akhirat dengan api neraka".

ii. Al-Qurtubi berkata: "Azab yang dikenakan terhadap orang kafir dengan pembunuhan disalib, ditawan dan dikenakan jizyah sedangkan di akhirat dikenakan azab neraka".

iii. Al-Maraghi berkata: "Orang Yahudi yang mendustaimu akan Aku jatuhkan seksaan ke atas mereka ini dengan pelbagai seksaan di dunia, seperti pembunuhan, menjadi tawanan dan dikuasai oleh bangsa-bangsa lain. Sedangkan, seksaan di akhirat nanti lebih dahsyat dan lebih memedihkan. Pada saat mereka tidak akan menemui sebarang penolong pun, sebagaimana mereka tidak menemukannya ketika di dunia ini".

iv. Hamka berkata: "Ajaran agama bukanlah semata-mata untuk keselamatan akhirat sahaja bahkan terlebih dahulu seksaan dunia akan dirasainya. Di dalam ilmu akhlak diterangkan betapa hidup yang lurus di dunia dengan kebersihan akhlak, moral dan mental.

"Tanggungjawab kepada Allah SWT dan juga pada manusia. Kekayaan, pangkat dan jabatan yang tinggi, harta benda yang melimpah ruah dan kekuasaan yang dirasai tidak akan dapat menolong menyelubungi seksaan batin kerana memilih jalan yang sesat".

Ayat ke-57

Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka, dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT tidak menyukai seseorang yang menzalimi hak orang lain, atau melakukan sesuatu yang tidak sewajarnya.

"Oleh kerana itu bagaimana Dia boleh membuat zalim ke atas hamba-Nya, sedangkan Dialah memberi balasan kepada hamba-Nya dengan sewajarnya".

Ayat ini merupakan ancaman daripada Allah SWT terhadap orang yang kafir kepada-Nya dan juga kepada Rasul-rasul-Nya. Sebaliknya ia merupakan khabar gembira kepada orang yang beriman kepada-Nya dan Rasul-rasul-Nya.

ii. Hamka berkata: "Orang-orang soleh akan diberi ganjaran dengan sempurna di dunia sampai akhirat. Bila iman sudah sebati di dalam jiwa, segala amalan untuk kebaikan mudah dilakukan maka di akhirat kelak syurga balasan untuk mereka yang beriman kepada Allah SWT".

Ayat 58

Firman Allah SWT yang bermaksud : Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (Wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari Al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat - (pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara).

Iktibar dan fiqh ayat :

i. Ibn Abbas r.a berkata: "Maksud zikir al-Hakim ialah al-Quran".

ii. Al-Zajjaj berkata: "Makna zikir al-Hakim pada susunan dan nazamnya serta menerangkan segala faedah daripadanya".

iii. Ibn Kathir berkata : "Ini yang kami kisahkan kepadamu hai Muhammad berkenaan dengan perihal Nabi Isa sejak kelahirannya dan apa yang Allah wahyukan kepadanya tanpa syak dan ragu lagi".

iv. Al-Maraghi berkata: "Kisah dalam al-Quran yang menjelaskan pelbagai pengajaran daripada cerita dan hukum memberi petunjuk kepada orang beriman mengenai inti pati agamanya, pemahaman syariat dan rahsia dikumpulkan manusia pada hari kiamat.

"Ayat-ayat ini akan menjadi hujah terhadap rombongan Nasrani Najran yang membantahnya dan Yahudi Bani Israel yang mendustakannya serta kebenaran yang kamu bawa kepada mereka".

v. Hamka berkata: "Telah diceritakan betapa Bani Israel, tegasnya Yahudi mencuba segala tipu daya mereka hendak menjerumuskan Nabi Isa ke dalam lembah kesengsaraan.

"Bahkan hendak membunuhnya sekali kerana mereka telah kafir dan tidak mahu menerima risalah Nabi Isa. Mereka gagal berbuat demikian kerana Allah SWT telah memuliakan Nabi Isa a.s dan memeliharanya".

Daripada ayat-ayat yang dibincangkan jelas menunjukkan sewajarnya kita menempatkan Nabi Allah Isa pada tempatnya dengan berpandukan kepada ayat-ayat Allah. Semoga kita menjadi hamba yang beriman dan berpegang kepada kebenaran. Amin.

Penyelamat Manusia Sejagat

ISLAM merupakan agama yang universal dan syumul (lengkap) yang mencakupi segala hal ehwal manusia seperti ibadat, munakahat, jenayah, muamalat dan sebagainya. Kesyumulan Islam tidak dapat diragui kerana manusia yang bertanggungjawab atas penyebaran Islam ini iaitu Nabi Muhammad bin Abdullah ini diiktiraf oleh semua manusia termasuklah sarjana Barat, tokoh-tokoh agama Islam, Yahudi, Kristian dan sebagainya.

The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History, buku yang mendapat tempat di hati masyarakat dunia yang ditulis oleh seorang penulis Barat bernama Michael Hart yang mana telah menempatkan Nabi Muhammad SAW di rangking pertama manusia yang sangat berpengaruh di muka bumi ini.

Michael Hart juga memperakui bahawa tiada yang setanding dengan Nabi SAW kerana yang dapat mempengaruhi umat manusia dari semua sudut termasuklah keperibadian, tingkahlaku, akhlak dan sebagainya.

Nabi Muhammad sangat sinonim dengan panggilan Rasulullah SAW yang mana bermaksud pesuruh Allah atau The Savior of Humanity (penyelamat manusia sejagat).

Keunggulan keperibadian Rasulullah tidak dapat disangkal oleh mana-mana individu di atas dunia kerana Baginda SAW mempunyai keperibadian yang sangat mulia dan merupakan contoh tauladan kepada semua manusia sejagat.

Allah menukilkan dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu tauladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.

Rasulullah merupakan anak kelahiran bumi Mekah pada 12 Rabiulawal tahun Gajah yang mana pada ketika itu suasana di tanah Arab merupakan zaman kegelapan jahiliah.

Umat manusia sanggup menanam anak perempuan mereka hidup-hidup seperti yang pernah dilakukan oleh Khalifah kedua Islam Saidina Umar Al-Khatab pada zaman jahiliahnya.

Penyembahan berhala-berhala seperti al-Lata, al-Uzza, Manat dan Wadda Suwaa berleluasa di muka bumi Arab ketika itu. Selain itu kaum-kaum wanita ditindas dan dihina sehina mungkin kerana mereka adalah kaum 'wanita' yang dikatakan memalukan keluarga.

Selepas kelahiran Rasulullah pancaran cahaya hidayah memancar jelas dimuka bumi Mekah tetapi tidak dipedulikan oleh umat manusia pada ketika itu kecuali sedikit. Tetapi dengan ketabahan dan kesabaran Rasulullah telah mencipta sejarah baru manusia yang mana keadaan masyarakat yang hina diangkat setinggi-tingginya dengan agama Islam.

Ketabahan Rasulullah merupakan ketabahan yang luar biasa kerana Baginda SAW diuji dengan pelbagai dugaan, rintangan, halangan, ancaman, cubaan dan sebagainya.

Sejak kecil, Baginda SAW diuji apabila dilahirkan dalam keadaan anak yatim yang kematian bapanya sewaktu baginda dalam kandungan bondanya dua bulan. Bukan itu sahaja pada usia 6 tahun, Nabi sekali lagi diuji apabila bonda yang disayangi menyahut panggilan ilahi.

Si anak yatim yang bernama Muhammad bin Abdullah ini meneruskan perjalanan hidup Baginda SAW dengan ketabahan yang tinggi. Sikap ketabahan Rasulullah dalam menyebarkan panji-panji dakwah Islam ini adalah pada ketika baginda ke Taif yang mana Rasulullah dihina dengan cacian dan dibaling batu sehingga luka dibadan Baginda. Namun, demi perjuangan menyebarkan Islam, Rasulullah tabah kerana Baginda SAW berpandangan jauh dalam berdakwah.

Satu kisah yang sangat menyayat hati apabila ada seorang wanita yang sangat benci kepada Baginda. Apabila sahaja melihat Rasulullah lantas wanita itu mengambil penyapu lalu memukul Baginda. Rasulullah tetap tidak melawan tetapi membalas pukulan tersebut dengan senyuman dan salam.

Suatu hari wanita tersebut tidak melakukan perkara yang sama sehingga Rasulullah berasa pelik. Jiran-jiran menyatakan pada Baginda bahawa wanita itu sakit dan tidak kuat untuk bangun.

Sebaik sahaja mendengar perkara tersebut Baginda terus masuk ke dalam rumah wanita itu dan melakukan kerja-kerja rumah.

Wanita itu begitu hairan melihat perangai Rasulullah yang sudi membantunya meskipun dia sangat benci terhadap Rasulullah. Selepas peristiwa tersebut maka hati wanita itu telah tertawan dengan keperibadian Baginda lantas memeluk Islam.

Ini merupakan satu contoh keperibadian Baginda yang sukar ditandingi. Jika pada zaman moden ini seseorang dihina dan dimaki dengan kesat, balasannya adalah dengan perbuatan yang sama iaitu memaki hamun dengan bahasa yang kesat juga dan agak mustahil membalas kejian sedemikian dengan pujian.

Dari sudut kekeluargaan Baginda SAW merupakan seorang suami yang bertanggungjawab, seorang ayah dan datuk yang amat penyayang terhadap anak-anak dan cucu-cucunya. Dalam soal muamalat, Baginda amanah apabila diberikan tanggungjawab sebagai contoh Rasulullah pernah berkhidmat dengan Khadijah dalam hal perniagaan sehingga ke negeri Syam.

Amanahnya Rasulullah membuatkan Khadijah tertawan hati dengan Baginda dan sudi menjadi ratu bidadari di hati Rasulullah dengan menghantar orang melamar Baginda.

Sifat-sifat baginda ini telah terpahat kukuh di hati umat Islam iaitu sifat siddiq (benar), amanah,tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana). Sifat-sifat inilah yang mencerminkan nilai keperibadian Rasulullah yang sukar dicari ganti.

Maulidur Rasul yang kita sambut setiap kali 12 Rabiulawal bukanlah hanya sebagai satu perkara ritual sahaja tetapi merupakan salah satu langkah untuk terus memperingati sejarah Nabi dalam menempuh liku-liku kehidupan sehingga Islam tersebar luas dan tertegak kukuh di atas muka bumi ini.

Resapan SATANisme

HANTU!!! Sejauh mana kita dapat memahaminya? Apa yang nyata, cerita seram yang mengaitkan hantu, jembalang dan roh jahat mendapat minat mendalam masyarakat, terutama yang dimainkan melalui media elektronik.

Barangkali cerita seram sebegitu tidak memberikan kesan secara langsung kepada golongan dewasa, tetapi bagaimana bagi kanak-kanak yang masih hijau dari segi sikap dan kecerdasan pemikirannya?


Disebabkan itu juga, tidak hairan jika ada di kalangan kanak-kanak yang takut tidak bertempat, pantang bergelap dan mudah menangis kerana 'takut' mengisi benak fikirannya.

Secara sedar atau tidak, sebenarnya senario hari ini menunjukkan gelombang penyebaran satanisme iaitu fahaman pemujaan syaitan yang mula menerkam jiwa masyarakat dan semakin mendapat tempat.

Istilah satanisme dilaporkan hanya muncul apabila ia dipelopori Anton Szandor La Vey yang mengasaskan Church of Satan (Gereja Syaitan) pada 1966.

Satanic Bible ditulis La Vey pada 1969 menakrifkan satanisme sebagai falsafah kejam yang tanpa selindung lagi mengutamakan kepentingan diri semata-mata. 

Sebelum istilah ini, konotasi biasa diguna ialah penyembahan syaitan.

Prof Madya Dr Che Zarrina Sa'ari dari Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya (UM), berkata tidak keterlaluan jika dikatakan satanisme hari ini berteraskan penentangan sukarela terhadap kewujudan dan kekuasaan Tuhan dalam mendakwa manusia berkuasa mutlak untuk berbuat dan berfikir sesuka hati tanpa sebarang kekangan.

Menurutnya, satanisme moden adalah bentuk pemujaan diri, dihubungkan dengan caranya yang radikal bagi melawan segala bentuk ketuhanan khususnya yang berasaskan teologi Bible.

"Kini kekaguman tanpa sedar terhadap syaitan dan segala manifestasinya juga seperti cerita seram berkaitan syaitan yang ditonjolkan dalam filem, buku, majalah, komik serta permainan video dapat diertikan sebagai satanisme," katanya dalam satu wacana di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Putrajaya, baru-baru ini.

Dalam pandangan hidup masyarakat umum Melayu, syaitan lebih dikenali sebagai hantu iaitu makhluk yang diterima kewujudannya sehingga melahirkan pelbagai kepercayaan seperti pantang-larang dan amalan mantera, azimat dan ritual.

Ia dipecahkan pula kepada pelbagai nama seperti hantu air, hantu sungai, penunggu, toyol, roh jahat, pelesit, pontianak, pocong, hantu raya, hantu pari, jembalang dan banyak lagi yang semuanya merujuk kepada hantu atau syaitan.

Kebolehan luar biasa berkomunikasi dan mengatasi masalah berhubung dengan hantu dan alam ghaib menjadikan institusi perbomohan mendapat kedudukan istimewa dalam masyarakat Melayu. 

Sistem pendidikan tidak formal Melayu juga dikatakan menggunakan hantu sebagai kawalan sosial terhadap perlakuan yang dianggap menyalahi susila yang dizahirkan menerusi peribahasa dan puisi Melayu.

Islamisasi, pemodenan dan globalisasi tidak banyak mengubah pandangan orang Melayu terhadap kuasa hantu walaupun bangsa lain yang bertamadun sudah lama meninggalkannya.

Perfileman dan penyiaran global mahupun tempatan tidak pernah berhenti daripada menerbitkan genre filem seram dengan mengutamakan watak, kuasa dan elemen syaitan, yang mampu menewaskan kuasa baik.

Golongan produksi semakin giat mengolah idea berkaitan syaitan dalam pelbagai gaya dan media termasuk dalam buku, majalah, komik dan novel. 

Ini belum mengambil kira saluran Internet dan permainan video yang menjadikan satanisme sebagai kegilaan baru di kalangan generasi muda. 

Menurut Che Zarrina, pembauran elemen satanisme dalam trend penggunaan media nampaknya paling berleluasa di kalangan belia Islam yang begitu mudah tertarik kepada bentuk dan gaya hidup yang penuh hiburan. 

"Psikologi belia mudah terheret untuk mencuba sesuatu yang menguja dan mencabar seperti yang dilambakkan media.

"Apatah lagi kesibukan keluarga yang mengejar kemewahan hidup antara pemangkin bagi belia yang masih lagi mencari identiti dan jati diri memilih alternatif yang menguja dan melalaikan untuk lari daripada pelbagai tekanan hidup.

"Hipotesisnya, belia Islam di Malaysia bergelumang dengan elemen satanisme yang dipaparkan antaranya dalam media massa yang disalah anggap sebagai alternatif terbaik dalam menjalani liku kehidupan mereka," katanya.

Syaitan berasal daripada kata kerja syatana yang bererti jauh iaitu jauh daripada kebenaran dan rahmat Allah. 

Dalam bahasa Arabnya, syaitan bererti setiap yang sombong dan derhaka daripada golongan manusia, jin dan haiwan sehingga orang Arab mengatakan ular adalah syaitan.

Secara istilah, jin yang kufur digelar sebagai syaitan, di mana syaitan yang pertama di kalangan jin ialah iblis. Meskipun begitu, manusia yang menentang kebenaran wahyu turut dinamakan syaitan. 

Al-Quran memberikan kaitan antara syaitan, jin dan manusia dalam aspek membangkang kebenaran wahyu dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin, sesetengahnya membisikkan kepada sesetengah yang lain akan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu."

(al-An'am:112)

Syaitan adalah nama untuk semua yang membantah daripada kalangan jin dan manusia. 

Oleh kerana itu, syaitan dibahagikan kepada dua jenis, membabitkan kalangan jin dan manusia.

Dr Che Zarrina berkata, dalam perspektif akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, satanisme adalah peribadatan, pengagungan dan pengkultusan syaitan menganggapnya memiliki kekuatan dan dapat mendatangkan bencana.

Katanya, dengan luasnya skop penakrifan yang realistik dengan keadaan pada zaman ini, kekaguman tanpa sedar terhadap syaitan dan segala manifestasinya juga dapat dikategorikan sebagai satu bentuk satanisme.

Beliau yang juga ketua penyelidik terhadap kajian elemen satanisme dalam trend kepenggunaan media di kalangan belia Islam di Malaysia, berkata paparan elemen satanisme dalam media didapati bercanggah dengan konsep Islam dalam ekspresi seni. 

"Ini kerana mesej satanisme sendiri bertentangan dengan tauhid yang menjadi teras ajaran Islam," katanya.

Prof Jabatan Syariah dan Ekonomi UM, Dr Joni Tamkin Borhan, berkata dari sudut pandang ekonomi Islam, penggunaan media yang bermuatan satanisme tidak dapat dikategorikan sebagai praktik yang dihalalkan dalam syariah Islam. 

"Menurut konsep penggunaan Islam, penggunaan media mestilah berasaskan lima tonggak utama iaitu akidahnya yang sahih, niat yang benar, jenis barangan mestilah halal dan mengikut keutamaan, cara penggunaan mestilah tepat iaitu sederhana, tidak membazir dan tidak kikir serta penggunaannya tidak boleh meninggalkan yang fardu," katanya.

Masyarakat khususnya golongan remaja dan belia dihidangkan dengan pelbagai bentuk unsur satanisme seperti melalui objek tengkorak, gambar berupa hantu, syaitan dan iblis serta tulisan dan lambang yang merujuk kepada syaitan. 

Berdasarkan kajian lapangan sepasukan penyelidik UM membabitkan 682 responden berusia 13 hingga 30 tahun di Lembah Klang dari November 2007 hingga Januari 2008, secara umum menunjukkan mereka suka kepada unsur seram.

Dalam hal ini, minat responden lebih menjurus kepada filem sama ada keluaran tempatan, Asia atau Hollywood. 

Responden juga didapati cenderung untuk membeli cakera padat video filem seram di samping menontonnya di pawagam dan televisyen.

Doa Qunut Hanya Sunat

Perintah solat telah diwajibkan oleh Allah SWT secara umum ke atas seluruh umat Islam melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 83 yang bermaksud, Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.

Segala perincian tuntutan kewajipan solat ini telah diwartakan oleh baginda SAW melalui hadis (untaian sabda baginda mencakupi perkataan, perbuatan dan pengakuan baginda). Perlakuan sifat solat baginda di terjemah dan disampaikan kepada umat Islam melalui lidah-lidah para sahabat r.a dan begitulah seterusnya sehingga era tabien dan sesudah mereka.

Para perawi yang meriwayatkan suatu hadis berkenaan sifat solat baginda juga berbeza dari tingkat periwayatan perawinya dan hadis berkenaan sifat solat baginda turut berbeza dari aspek kehujahannya sama ada sahih, hasan dan daif.

Justeru bukanlah suatu yang mustahil berlaku perbezaan dalam hal yang melibatkan perlakuan dalam ibadah solat. Apa yang paling penting perbezaan yang berlaku masih tidak menafikan rukun-rukun utama dalam solat.

Dalam persoalan seperti yang dikemukakan di atas jika diukur dengan neraca mazhab Syafie sememangnya kita akan melihat perbezaan keempat-empat imam mazhab mempunyai pandangan yang tidak sama dalam persoalan-persoalan fiqh.

Islam adalah agama yang unik dan sesuai dengan fitrah manusia. Tidak ada sebarang percanggahan dalam Islam yang melibatkan persoalan utama (usul). Perbezaan pendapat kalangan mereka adalah dalam permasalahan -permasalahan cabang (furu') dan bukan dalam persoalan persoalan utama (usul).

Hal ini disebabkan perbezaan cara pemahaman sesuatu nas sama ada nas itu di ambil dari al-Quran atau hadis Rasulullah SAW atau pernyataan para sahabat. Maka pandangan yang berbeza ini dinamakan khilaf ulama dalam persoalan-persoalan furu' dalam fiqh. Ia merupakan bukti kehebatan dan kepakaran mereka dalam menghasilkan hukum hakam berkaitan fiqh ibadah.

Wujudnya perbezaan pendapat dalam permasalahan fiqh ini memberikan peluang dan membantu kaum muslimin untuk merealisasikan sabda baginda SAW yang bermaksud, "Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat-Ku solat".

Maksud perkataan 'melihat-Ku' dapat diketahui dengan merujuk kepada hadis baginda seperti yang diriwayatkan oleh para sahabat sewaktu mereka hidup bersama baginda dan melalui pendapat dan huraian para ulama mengenainya.

Para sahabat dan ulama terdahulu telah mencapai kematangan dalam memahami Islam, memperkenal dan memperkukuhkan ajaran Islam, sentiasa meningkatkan kefahaman mereka berkenaan persoalan fiqh dan ilmu-ilmu lain dalam Islam. Ia demi kepentingan ummah sehingga berjaya menghasilkan tamadun yang cukup dinamik dan dibanggakan oleh umat islam seluruhnya.

Wajib bagi umat Islam untuk mengambil dan mengikuti dalil-dalil yang sahih dari sifat solat baginda SAW dan tidak fanatik dan obses kepada mazhab tertentu.

Rasulullah SAW juga memberi alternatif kepada umatnya ketika mereka berselisih pendapat dalam permasalahan agama. Sabda baginda seperti yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam al-Tirmidzi, (hadis hasan sahih) yang bermaksud:

"Sesungguhnya, sesiapa di antara kamu yang masih hidup akan melihat perselisihan yang banyak, maka menjadi kewajipan kalian berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Raasyidin yang diberi petunjuk, gigit (peganglah) sunnah itu dengan gigi geraham kamu dan jauhilah segala perkara baru (dalam urusan agama) kerana setiap bidaah itu adalah kesesatan".

Persoalan doa qunut subuh adalah satu perkara khilafiah yang telah lama diperbincangkan. Sebagai muslim kita mestilah mengetahui, meraikan dan menghormati mazhab yang dipegang dan diamalkan oleh majoriti umat Islam di suatu tempat atau negara dalam perkara agama seperti yang diputuskan oleh mufti dan majlis agama.

Di negara kita Malaysia yang mengamalkan mazhab Syafie, membaca qunut dalam setiap solat subuh hukumnya sunat. Jika tertinggal maka perlu melakukan sujud sahwi. Namun begitu Imam Syafie tidak menegaskan bahawa apa yang dikatakannya menjadi satu amalan dan tuntutan yang wajib ke atas pengikutnya dan mestilah mengabaikan mazhab-mazhab selainnya.

Suatu ketika sewaktu imam Syafie pergi ke kawasan Imam Hanafi dan menjadi imam, imam Syafie tidak membaca doa qunut. Apabila ditanya mengapa, imam Syafie lantas menjawab beliau menghormati tuan tempat ini (Imam Hanafi).

Imam Syafie turut berkata apabila sahih hadis itu maka ia adalah mazhabku dan sekiranya hadis sahih berlaku khilaf dengan kata-kataku, maka hadis Rasulullah lebih utama dari kata-kataku.

Kesimpulannya persoalan qunut ini merupakan persoalan cabang dan tidak perlu diperbesar dan dimusykilkan. Ia hanya akan mengakibatkan keresahan dan kesukaran kepada saudara Islam yang baru untuk lebih mengenali ajaran Islam sehingga menganggap agama Islam itu sebagai sebuah agama yang menyusahkan.

Pertikaian dalam perkara furu' akan mengakibatkan muncul pengikut yang fanatik mazhab secara membabi buta tanpa menghalusi dan memahami kehendak dan perintah Allah SWT serta baginda SAW.

Jika seorang makmum mengikuti solat imam yang membaca qunut di waktu solat fajar atau solat witir maka dia hendaklah qunut bersama imam. Jika imam tidak melakukan qunut maka hendaklah makmum tidak melakukannya bersama imam, walaupun jika imam memandang bahawa qunut itu adalah sunnah dan makmun berpendapat sebaliknya lalu dia meninggalkan pandangannya demi perpaduan.

Pergerakan dan perlakuan anggota sewaktu solat juga merupakan perkara cabang dalam permasalahan fiqh. Makmum hendaklah mengikut perlakuan imam yang mengimami suatu solat tanpa berlaku sebarang perbezaan antara mereka.

Dalam hal ini baginda Rasulullah SAW bersabda melalui hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Justeru janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya. Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca sami' Allahu liman hamidah maka katalah rabbana laka al-hamd. Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah). Dan luruskanlah barisan saf dalam solat (jemaah) kerana sesungguhnya saf yang lurus adalah tanda kesempurnaan solat (berjemaah). (riwayat al-Bukhari).

Sebagai seorang muslim kita perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dan jauhkan dari sifat ingin memenangkan diri.

Firman Allah yang bermaksud, Jika kamu semua berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul. (an-Nisa': 59).

Selain itu tidak mencela pandangan atau ijtihad ulama lain dalam permasalahan ijtihaadiyyah. Kita dilarang menghina atau merendahkan pandangan mana-mana pinak selagi ia masih berada dalam lingkungan permasalahan yang boleh diperselisihkan oleh syarak iaitu perkara-perkara cabang atau yang tidak muktamad.

Seorang muslim perlu menghormati pandangan ulama yang berbeza pandangan dengannya dalam masalah cabang dan mengambil pandangan yang kuat dan menjauhi sifat taksub (fanatik).

Setiap manusia kadangkala boleh diterima dan boleh ditinggalkan kata-katanya melainkan Nabi Muhammad, kerana hanya baginda yang maksum dan terhindar dari kesilapan.

Sebagai penutup memetik ungkapan Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya al-Sahwatul Islamiahberkata, "Para pendakwah dan pengamal Islam mestilah menjadikan matlamat mereka kepada kesatuan, keserasian, mengumpulkan hati-hati mereka dan merapatkan barisan mereka. Mereka mesti menjauhkan diri dari perbezaan dan perpecahan serta semua perkara yang memecah-belahkan jemaah dan merosakkan kesatuan yang terdiri dari permusuhan yang zahir mahupun kebencian yang batin.

"Juga semua perkara yang membawa kepada kerosakan hubungan sesama sendiri yang hanya akan melemahkan umat. Tiada yang setaraf dengan agama Islam dalam mengajak kepada persaudaraan.

" Persaudaraan ini nampak jelas dengan kesatuan, keserasian dan saling tolong-menolong. Agama Islam juga unggul dalam melarang daripada perpecahan, perselisihan dan permusuhan. Semuanya termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah".

11 Jenis Manusia Yang DiDoakan Malaikat

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. 

Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat. 

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

  • 1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

    Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

  • 2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

    Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

  • 3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

    Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

  • 4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

    Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

  • 5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

    Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

  • 6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

    Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."

  • 7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

    Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. 

    "Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?" 

    Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"

  • 8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

    Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'" 

  • 9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

    Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...'"

  • 10. Orang yang sedang makan sahur.

    Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

  • 11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

    Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

    Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.
  • 04 Mac 2009

    Wanita Pertama Mati Syahid

    SumayYah binti Khabath adalah hamba Abu Huzaifah bin Mughirah. Tuannya mengahwinkan Sumayyah dengan Yasir bin Amir, perantau dari Yaman ke Mekah. Apabila Allah mengurniakan mereka seorang anak yang diberi nama Amar, Abu Huzaifah pun membebaskan Sumayyah daripada menjadi hambanya.

    Apabila Islam mula tersebar, keluarga Yasir antara golongan pertama memeluk agama suci itu. Sumayyah tidak gentar dengan amaran musyrikin Quraisy yang menyeksa dan membunuh sesiapa yang memeluk Islam.

    Apabila bangsawan Quraisy mengetahui Sumayyah sudah memeluk Islam, mereka menyerbu rumahnya. Keluarga Amar ditangkap dan dibawa ke khalayak untuk diseksa.

    "Mereka sudah menyahut ajaran Muhammad walaupun ditegah oleh pihak atasan Quraisy. Kamu akan menerima balasan kerana ingkar perintah kami," kata Abu Jahal kepada pengikutnya sambil menarik keluarga Yasir yang terikat ke kawasan padang pasir di luar kota Mekah.

    "Mereka tidak serik dengan hukuman kita walaupun pengikut agama yang dibawa Muhammad telah diseksa oleh kita," kata seorang bangsawan Quraisy yang berjalan di sebelah Abu Jahal.

    "Kali ini saya tidak akan bebaskan mereka bertiga sehingga mereka mengaku berhala-berhala kita sebagai tuhan mereka," tegas Abu Jahal yang mengacah tombaknya ke arah keluarga Yasir yang diseret secara kasar oleh pengikut Abu Jahal.

    Mereka berhenti di kawasan lapang yang dipenuhi bongkah batu besar. Yasir, Amar dan Sumayyah ditanggalkan pakaian mereka lalu diikat pada bongkah batu yang panas mendidih dipanah matahari padang pasir.

    Kaki dan tangan mereka diikat ketat sehingga tidak dapat bergerak seinci pun. Abu Jahal, pembesar Quraisy dan pengikut setianya ketawa melihat penderitaan ketiga beranak itu.

    "Kamu akan diseksa dengan lebih teruk seandainya kamu tidak mahu meninggalkan agama yang dibawa oleh Muhammad. Kamu akan dibebaskan jika kamu sanggup mengaku berhala-berhala di kota Mekah ini sebagai tuhan kamu," Abu Jahal mula mengambil tali sebat bagi menakutkan Yasir, Sumayyah dan Amar.

    "Kami tidak akan mengaku berhala-berhala itu sebagai tuhan kami. Hanya Allah Tuhan kami," balas Yasir dengan tenang.

    "Saya beriman dengan Allah sahaja," kata Sumayyah pula.

    "Berani kamu melawan kata-kata saya," api kemarahan Abu Jahal semakin membara mendengarkan kata-kata Sumayyah itu tadi.

    "Ini balasan kepada kamu kerana enggan menerima berhala-berhala sebagai tuhan kamu," Abu Jahal dan pengikutnya mula menyebat tubuh Yasir, Sumayyah dan Amar dengan kejam. Hinggakan darah mengalir daripada tubuh mereka yang terikat pada bongkah batu yang panas dipanah matahari tengah hari.

    Berita penyeksaan keluarga Yasir sampai ke pengetahuan Nabi SAW sehingga baginda dan Abu Bakar keluar bagi menyelamatkan keluarga tersebut daripada seksaan kejam Abu Jahal dan pengikutnya. Namun, mereka dihalang oleh orang-orang Quraisy yang menyaksikan seksaan terhadap keluarga Yasir.

    Hati Abu Jahal semakin sakit melihat reaksi Yasir, Sumayyah dan Amar yang masih enggan menerima berhala sebagai tuhan mereka. Dia mengarahkan pengikutnya memakaikan baju besi kepada ketiga-tiga ahli keluarga tersebut agar bahang matahari semakin menyeksa mereka.

    "Kita lihat berapa lama kamu boleh menahan seksa di tengah-tengah kepanasan matahari ini," sindir Abu Jahal sambil memandang wajah Yasir dan Sumayyah dengan bengis.

    "Tiada tuhan melainkan Allah," kata Yasir, Sumayyah dan Amar merintih dalam kesakitan memakai baju panas.

    "Letakkan batu besar ke atas badan Yasir," arah Abu Jahal lagi kerana geram mendengar kata-kata Yasir sekeluarga.

    Seksaan demi seksaan ke atas Yasir menyebabkan fizikalnya menjadi lemah kerana usianya yang sudah lanjut. Akhirnya, Yasir menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan menyebut nama Allah tanpa menerima agama berhala Abu Jahal.

    Walaupun hati Sumayyah hancur melihat suaminya mati akibat seksaan Abu Jahal yang kejam, dia gembira kepada suaminya mati dalam menegakkan agama Allah.

    "Kamu pun mahu mati seperti suami kamu. Lebih baik kamu terima tawaran saya sebelum ajal kamu tiba!" Abu Jahal mahu menunjukkan yang seksaannya mampu mengubah pendirian pengikut Nabi Muhammad kepada ajaran berhala.

    "Jangan kamu berharap saya akan menurut kata-kata kamu itu. Tiada tuhan melainkan Allah,". Hati Sumayyah keras seperti batu teguh pada keimanannya pada Allah.

    "Kamu sudah semakin degil dan melawan kata-kata saya!" Abu Jahal mengambil tombak dari tangan kanannya lalu dicucuk ke dalam alat sulit Sumayyah.

    "Allahu Akbar". Begitulah kata terakhir Sumayyah sebelum menghembuskan nafasnya akibat tikaman tombak Abu Jahal itu.

    Kematian Sumayyah dengan nama Allah di mulutnya demi mempertahankan keimanan pada Allah adalah peristiwa penting dalam sejarah pengembangan agama Islam. Sumayyah adalah wanita pertama mati syahid dalam sejarah Islam.